Tasawuf vs Karamah

Q. Bertasawuf untuk mendapat karamah?

A. Ada segelintir masyarakat kita yang cukup berminat mendalami ilmu tasawuf dengan harapan apabila mengikuti jalan tasawuf ini, berguru dengan guru-guru tarekat, maka kononnya satu hari kelak mereka akan dianugerahi Allah SWT dengan pelbagai keajaiban atau perkara pelik yang disebut “keramat” – perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang diMelayukan sebenarnya iaitu “karamah”. Antara perkara pelik atau yang dikatakan perkara yang di luar adat kebiasaan atau disebut juga ‘mencarik adat’ (khariqul adah) ialah seperti dapat berjalan di atas air, boleh terbang di udara, tidak lut ditikam dan seumpamanya. Karamah ini sebenarnya adalah anugerah Allah SWT kepada orang yang soleh. Cuma ianya perlu dibezakan kerana tidak semua perkara yang ajaib, pelik dan di luar adat kebiasaan itu berupa karamah kerana ada ketikanya ianya adalah sihir dan ada ketika juga berupa bentuk ‘istidraj’ iaitu kejadian pelik yang dizahirkan  disebabkan kebenciaan Allah SWT kepada orang berkenaan agar dengan itu semakin jauh dan sesat lagi. Jika kepada para Nabi dan Rasul, Allah anugerahkan dengan mukjizat, maka kepada mereka yang soleh pula Allah anugerahkan karamah. Tetapi tidak semua Nabi dan Rasul itu memiliki mukjizat, begitu juga tidak semua orang soleh atau wali itu ada karamah.

Kalau seseorang itu bertasawuf dengan niat untuk mendapatkan karamah, maka sebenarnya beliau sudah tersasar dari matlamat dan tujuan tasawuf yang sebenar. Tasawuf seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah ilmu untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT melalui penyucian hati dari sifat-sifat mazmumah, ilmu untuk mengikhlaskan hati agar dengan itu senantiasa merasakan Allah SWT itu memerhati setiap gerak geri kita atau disebut ‘muraqabah’ Kalau seseorang diajak untuk mengikut sesuatu jalan tarekat kononnya untuk mendapatkan karamah-karamah tertentu, maka itu sudah memadai menjadi petunjuk bahawa tarekat tersebut sudah menyimpang dari prinsip-prinsip ajaran tasawuf yang sebenar.

Benar, karamah itu ada dalam ajaran Islam tetapi ia bukan suatu yang menjadi matlamat atau tujuan kita. Ianya merupakan anugerah Allah SWT kepada hambanya yang soleh tanpa beliau meminta diberikan karamah tersebut. Seorang ulama tasawuf pernah menyebut bahawa sebenarnya setiap kita mempunyai karamah, iaitu apabila doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT.  Itu juga merupakan satu bentuk karamah yang kita tidak boleh memandang ringan.

Q. Tasawuf Tolak Dunia?

A. Ini juga salah salah satu dari tohmahan yang dihamburkan kepada ahli-ahli tasawuf kerana kononnya mereka ini menolak dunia kerana berpegang kepada prinsip ‘zuhud’. Zuhud sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama tasawuf sebenarnya tidak bermaksud menolak dunia tetapi sebaliknya membawa maksud dunia itu tidak dijadikan matlamat hidup seseorang. Dalam ertikata mudah sepertimana yang sering didengari hari ini iaitu ‘meletakkan agama / akhirat di dalam hati, manakala dunia hanya sekadar di tangan sahaja’. Oleh itu zuhud itu bukan terletak kepada sejauh mana kemiskinan  atau ketiadaan harta seseorang. Orang yang miskin tidak semestinya seorang yang zuhud atau disebut ‘zahid’. Andai beliau diberi peluang dengan segala kekayaan, kemungkinan beliau akan menjadi lebih rakus dan tamak dengan dunia melebiho dari orang lain. Beliau kelihatan ‘zuhud’ hanya kerana keadaan beliau masakini yang ketiadaan harta atau miskin. Begitu juga sebaliknya, seseorang yang kaya raya, bukanlah bermakna beliau seorang yang cintakan dunia dan rakus kepada dunia. Faham zuhud yang sebenar ialah seseorang itu di dalam hatinya  “tidak merasa keterikatan dengan dunia”. Inilah yang disebut oleh Ibrahim bin Adham iaitu “zuhud itu mengosongkan hatimu dari dunia, dan bukan mengosongkan dari tanganmu”.  Inilah zuhud para arifin. Kita sering juga mendengar ungkapan berbunyi  “bukanlah zuhud itu dengan ketiadaan harta, tetapi hakikat zuhud yang sebenar ialah ketiadaan dunia dalam hati” . Begitu juga ungkapan sebaliknya iaitu “kekayaan itu bukanlah dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya itu ialah kaya jiwa”. Pernah diriwayatkan seorang ahli tasawuf berkata kepada seorang pembesar dengan katanya “aku lebih kaya dari kau”. Pembesar tersebut membantah kerana mustahil ahli tasawuf itu lebih kaya kerana beliau tidak memiliki sebarang harta kekayaan sedangkan pembesar itu memiliki harta yang banyak.  Lalu beliau bertanya kepada pembesar tersebut adakah beliau masih menginginkan harta lagi? Pembesar itu mengiyakan, sudah tentu. Maka ahli sufi itu membalas, kerana itu aku katakan aku lebih kaya dari engkau kerana walaupun aku tidak memiliki harta sebanyak engkau, namun aku tidak teringin lagi kepada harta yang lain.  Dengan kisah ini rasanya jelaslah kepada kita bahawa zuhud (atau kaya) itu sebenarnya adalah keadaan hati, dan ianya adalah suatu yang bersifat dalaman (batin) dan tiada kena mengena dengan sejauh mana banyaknya pemilikan harta kekayaan seseorang atau bagaimana penampilan luaran beliau. Orang yang tidak meletakkan dunia dalam hatinya maka beliaulah orang yang zuhud pada hakikatnya walaupun mungkin beliau dianugerahi Allah harta kekayaan yang melimpah ruah. Yang dicela dalam Islam bukan harta kekayaan itu, tetapi sikap kita terhadap dunia. Adakah kita seorang yang rakus dan cintakan dunia atau mengambil dunia sebagai keperluan mencari keredhaan Allah.

Q. Tasawuf untuk Kasyaf ?

A. Kasyaf dari segi bahasanya bermaksud ‘bukaan’. Ia membawa maksud dibuka perkara-perkara yang tidak nampak secara zahirnya oleh mata kasar orang ramai kepada orang-orang soleh yang terpilih. Ini juga adalah anugerah dari Allah SWT. Ada sesetengah orang yang menjalani jalan tasawuf ini dianugerahi Allah dengan kelebihan ini sehingga disingkap kepada mereka perkara yang tidak nampak oleh orang ramai. Namun itu bukanlah matlamat bertasawuf. Kalau seseorang itu mengikuti jalan tasawuf demi untuk dapat melihat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat oleh orang lain, maka beliau sebenarnya telah tersasar dari matlamat tasawuf. Kasyaf ini dianugerahkan sebenarnya untuk membantu para guru-guru mursyid membimbing muridnya ke jalan mendekati Allah dengan lebih berkesan. Ini juga satu bentuk karamah orang-orang soleh. Namun orang-orang yang diberi anugerah kasyaf ini mempunyai adab-adab yang mesti dipatuhi, antaranya tidak menceritakan singkapan hijab yang Allah zahirkan padanya untuk menceritakan keburukan orang lain yang dia nampak yang tidak nampak oleh orang ramai. Wallahualam.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *