Blogging kembali & Kolumnis Q&A

Alhamdulillah sejak awal tahun ini saya telah diminta oleh pihak Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk menulis dalam majalah terbaru mereka Q&A. Saya katakan jika YBhg. Datuk Ketua Pengarah membenarkan saya menulis, saya tiada halangan. Lagipun, lama rasanya tidak menelaah kitab-kitab dan mendalami ilmu semenjak diamanahkan di radio ini. Dahulu, ketika di PPLI saya ditugaskan mengisi slot Topik Jumaat secara mingguan dan kerana itu saban minggu terpaksa mengkaji dan mengulangkaji ilmu-ilmu agar dapat memberi penyampaian yang baik. Kita bukan macam tok-tok guru yang semua ilmu di dada, kita ilmu masih lagi dalam buku yang tidak mampu dihadamkan. Allah, malu dengan tok-tok guru kita yang semuanya dalam dada-dada mereka. Hari ini dengan ada pelbagai gajet, iPad dan lain-lain kita menjadi semakin malas menghafal. Begitu juga tiap-tiap bulan kena menulis dalam akhbar. Tetapi semenjak bertugas di radio, tugasan tersebut tidak diwajibkan lagi. Dari satu segi bagus kerana di radio ini kerja pentadbirannya terlalu banyak. Namun dari segi lain ianya tidak baik kerana kita tidak akan tekanan untuk membaca dan mendalami ilmu. Harap-harap dengan diminta menulis ini, ada lah sedikit tekanan itu.

Alhamdulillah. Datuk tiada halangan selagi tidak menjejaskan tugas hakiki saya. Mulalah saya menulis kembali. Sekadar untuk berkongsi dengan khalayak masyarakat yang mungkin tidak berkesempatan membeli Q&A,  saya selitkan tulisan-tulisan berkenaan di laman blog ini. Bidang pengajian saya sejak beberapa tahun ini ialah tasawuf dan tulisan saya dalam  Q&A juga banyak berkisar berhubung isu tersebut. Q&A majalah yang cukup baik disajikan dalam bentuk Soalan dan Jawapan (Questions & Answers) dan ditulis oleh mereka yang berwibawa (melainkan al-faqir)

Blog Roskiman.com ini dah lama wujud sebenarnya, tetapi ditutup seketika kerana saya terlalu sibuk dan tidak mampu mengemaskininya. Kini, rasanya ingin kembali aktif dan berkongsi buah fikiran. Moga-moga manfaatnya besar untuk semua. Yang lebih penting lagi ianya menjadi catatan maya untuk saya sendiri merujuk nota-nota penting apabila perlu dan terlupa. Tak mengapa jika tiada yang mengetahui kewujudan blog ini pun. Saya bukan ingin bersaing atau mencari populariti. Untuk popular banyak cara lain boleh kita lakukan. Apapun, coretan di sini adalah pandangan peribadi saya tiada kena mengena dengan organisasi yang saya berkhidmat. Jika ada salah silap, mohon teguran dari tuan/puan dan para azatizah yang budiman lagi bijaksana. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan saya, terpulanglah. Kita tidak wajib menerima apa yang dikatakan orang lain, melainkan kalam Allah dan RasulNya sahaja. Yang lain, boleh dipertikaikan samada menepati kalam suci berkenaan. Kita hormat pandangan orang lain sebagaimana kita mahu pandangan kita dihormati. Wassalam.

Be First to Comment

Leave a Reply