Jangan Muda Mendhaif dan Memalsukan Hadith

Hari ini dianjurkan “semak status hadith”  kerana kononnya banyak hadith dhaif dan palsu berlegar. Dari satu segi nampak ada kebenaran dan logik pernyataan tersebut khususnya di kalangan orang awam yang tidak mengerti apa-apa. Cuma persoalannya adakah sesiapa di kalangan kita memiliki kepakaran untuk menyemak status sesuatu hadith itu? Muhaddith ke kita atau sekadar menggunakan carian di internet? Kalau membuat carian di internet Itu bukan semak status hadith namanya, itu sekadar taqlid buta kepada internet atau secara khusus pemilik laman web tersebut.

Seperkara lagi laman mana yang boleh disemak? Memang banyak laman-laman web yang melakukan semakan hadith atau takhrij hadith, tetapi semakan mereka masih juga merujuk ulama-ulama dan muhaddithin muktabar, mutaqaddimin yang pelbagai fikrah dan ragam. Kita nak menyemak nak rujuk laman mana yang ada kredibiliti, jujur dan bukan cuba menyogokkan agenda tersembunyi mereka dan mempromosikan faham mereka? Islamweb?Ahlalhadeeth? atau Dorar? Itu semua antara laman-laman web yang sering dirujuk selain banyak lagi. Tetapi bagi yang arif akan mengerti dan faham siapa di sebalik pembangun laman-laman tersebut dan status semakan bagaimana yang akan ditonjolkan dan “menenggelamkan” semakan ulama yang tidak selari dengan fikrah mereka.

Untuk orang awam, jangan mudah terikut dengan segolongan agamawan yang mudah-mudah mendhaifkan dan memalsukan sesuatu hadith. Jika hukum berdusta menuduh Nabi SAW berkata sesuatu yang tidak Baginda SAW katakan itu akan menempatkan diri dalam neraka, sepertimana Sabda Baginda SAW  مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا ، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ   “Sesiapa yang berdusta atas namaku, akan menempatkan dirinya dalam Neraka” bagaimana pula hukum menuduh Nabi SAW tidak berkata sesuatu yang Baginda SAW pernah katakan?  Adakah hukumnya juga tidak sama? Adakah itu juga tidak dikira berdusta atas nama Nabi SAW?

Seperkara lagi jangan mudah-mudah menyamakan hadith dhaif itu juga hadith palsu. Rujuk para ulama mutaqaddimin dalam memutuskan status sesuatu hadith dan bukannya ulama moden yang kredibiliti mereka amat diragui.

Di bawah ini ialah kisah Alqamah yang hebat didebatkan baru-baru ini kononnya Palsu walhal ianya tidak jelas Palsu, walaupun mungkin kisah tersebut ada lemahnya.

Tahniah sahabat saya YM Ustaz Raja Ahmad Mukhlis yang begitu cermat dalam meneliti isu ini dengan begitu teliti sekali, satu persatu diperhalusi.

_______________
Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Komentar kepada Komentar: Berkenaan Kisah Alqamah

September 2, 2015 at 10:36am

Segala puji bagi Allah SWT dan selawat ke atas Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, ahli keluarga dan seterusnya para sahabat Baginda,.. amma ba;du… Alhamdulillah, komen-komen sya diberi perhatian sedang saya ini siapalah sahaja orangnya, yang sudah menegaskan bahawa bukan berniat untuk menilai dan menghukum sesuatu hadith, kerana saya yakin ketidaklayakan saya untuk masuk ke gelanggang ini, yang mana ianya medan para nuqqqod yang kukuh kaki keilmuan mereka di atasnya. Perkataan beliau:

1. Penulis seolah-olah mahu membayangkan kepada umum bahawa saya menyatakan riwayat itu palsu secara sepakat ulama. Saya cabar penulis di mana saya katakan kisah ini palsu secara sepakat? Saya konsisten dalam tulisan saya yang lalu bahawa kisah ini matruk (terlalu daif). “Cuma sebahagian ulama menyatakan ia palsu” kerana mereka menyandarkan pandangan kepada pandangan al-Hakim.

Jawapan saya:

“Bayangan” itu tidak benar. Saya sekadar mempertikaikan penilaian palsu kisah tersebut kerana saya percaya dhoif dan palsu itu sangat berbeza. INi telah ditegaskan dalam point pertama. Oleh sebab itulah, ramai ahli hadith mengkritik kitab al-Maudhu’at oleh al-Imam Ibn al-Jauzi kerana terlalu senang menjadikan sesuatu hadith tersebut dinilai palsu, tanpa dalil. Kita semua tahu, sesuatu hadith itu tidak akan sampai tahap sahih melainkan dengan lima syarat yang diketahui umum dalam bidang mustolah hadith. Jika kurang atau gugur salah satu syarat sahaja, maka ianya jatuh ke tahap di bawah sahih, samada ianya hasan, jika kekurangan syarat tersebut masih ringan, ataupun dha’if bahkan sehingga ke tahap sangat lemah jika kekurangan syarat tersebut sangat berat. Tetapi, sekurang mana pun syarat kesahihan sesuatu hadith, sehingga jatuh ke tahap dhaif (hatta dha’if jiddan sekalipun), tidak menyebabkan sesuatu hadith itu palsu, melainkan ada salah satu daripada dua sebab (mengikut ramai ulama’ hadith) iaitu i’tiraf pemalsu hadith bahawa hadith yang diriwayatkan itu palsu, ataupun ada “rukakah” dalam hadith tersebut yang hanya dapat dikesan oleh mereka yang sangat matang dalam penilaian hadith. Jika tiada salah satu daripada dua sebab utama ini, maka penilaian sesuatu hadith itu sebagai palsu dianggap sebagai menilai palsu tanpa dalil.JIka sekadar kisah ini dinilai dha’if, kerana perawinya bernama Fa’id bin Abd al-Rahman Abu al-Warqa’ itu dha’if, maka itu adalah suatu perkara yang diterima dan tidak dipermasalahkan.

CUma, berdasarkan screenshot (Danial Madani) dan perkataan beliau: “”Cuma sebahagian ulama menyatakan ia palsu””, maka saya tanyakan, siapakah ulama’ yang mengatakan ia (yakni kisah ini) palsu, dari kalangan mutaqoddimun (ulama’ hadith terdahulu).

INi kerana, kisah ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad walaupun dengan kritikan tetapi tidak mengatakan ianya palsu. Begitu juga al-Imam al-Baihaqi meriwayatkannya dengan memberi komen sanadnya yang lemah, tetapi tidak mengatakan ianya palsu. Ianya juga diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Abi al-Dunya dalam kitab al-Muhtadirin, al-Rafi’ie dalam al-Tadwin dan sebagainya. Mereka yang meriwayatkannya tanpa menilai ianya palsu menunjukkan mereka tidak pernah menilainya sebagai tidak sah untuk diriwayatkan ataupun palsu. Apatah lagi, al-Imam al-Zahabi, empunya kitab Siyar A’lam al-Nubala’ dan Mizan al-I’tidal, yang pasti mengenali perawi bernama Fa’id ini, dan penilaian para nuqqad tentangnya, masih meriwayatkan kisah ini secara terperinci dalam kitab al-Kaba’ir walaupun dengan lafaz atau shighah tamrid. Tetapi, tidak pula dengan sebab perawi yang di tajrih ini menyebabkan “kisah” ini dinilai palsu. Maka, saya tanya, siapakah dalam kalangan ulama’ mutaqoddimun yang menilai kisah ini palsu, dengan sebab perawi bernama Fa’id ini mel
ainkan Ibn al-Jauzi yang mana kitab al-Maudhu’at beliau dikritik ramai para ulama’ hadith kerana bermudah-mudahan dalam menilai hadith sebagai palsu termasuk hadith-hadith yang diriwayatkan dalam kitab sunan dan musnad Ahmad?

Beliau berkata:

2. Penulis seolah-olah mahu menyatakan bahawa terdapat khilaf dalam status perawi yang bernama Faid Abu al-Warqa’. Dengan alasan berikut:

i. Ibn Adiy menyatakan beliau sebagai perawi daif yang ditulis hadisnya.
– Saya katakan pandangan Ibn Adiy ini sebenarnya menyanggahi majoriti ulama al-Jarh wa al-Taadil. Tidakkah al-Bukhari menyatakan beliau munkar al-Hadith? Bukankah Imam Ahmad menyatakan beliau Matruk al-Hadith (riwayatnya ditinggalakan)? Bukankah Abu Hatim al-Razi dan Abu Zur’ah juga menilai beliau terlalu daif sehingga riwayatnya tidak terpakai? Bahkan al-Nasaie juga berkata demikian. Akhirnya yang menggembirakan saya ialah Ibn Hajar juga dalam Taqrib al-Tahzib menilai beliau sebagai perawi matruk dan sebahagian ulama hadis menuduhnya berdusta. Mengapa penulis tidak nyatakan sebab mengapa beliau memilih pandangan Ibn Adiy dan meninggalkan pandangan majoriti jaguh-jaguh hadis ini?

Saya katakan:

Kenapa beliau suka menggunakan perkataan “seolah-olah”? Saya menetapkan semua penilaian para nuqqad dalam komen-komen saya, termasuk yang memberi penilaian positif. Semua penilaian yang beliau berikan sudah saya sebutkan sebahagian besarnya, sebagaiamana saya nukilkan daripada Tahzib al-Kamal, al-Dhu’afa’ al-Kabir dalam point ketiga saya. Kemudian saya juga menukilkan juga sebahagian penilaian daripada Tahzib al-Tahzib. PAndangan Ibn ‘Adiy bukan pilihan saya untuk menolak penilaian para nuqqod yang lain, tetapi sekadar menunjukkan memang ada khilaf dalam kalangan para ulama’ hadith. al-Imam al-MUbarakfuri menukilkan dalam Tuhfah al-Ahwazi tentang Fa’id ini bahawa al-Hafiz al-Munziri mengatakan, para thiqah juga ada meriwayatkan daripadanya. Antaranya disebutkan oleh al-Imam IBn Hajar dan sebagainya, bahawa antara yang meriwayatkan dariapda Fa’id ini adalah al-Imam al-Tirmizi, al-Imam Ibn Majah dan Hammad bin Salamah. Ia sekadar menunjukkan, masih ada ruang penilaian para ulama’ lain terhadap beliau, menunjukkan tidaklah beliau boleh dinilai sebagai sebab kisah ini dinilai palsu.

Beliau katakan:

ii. Berkaitan penilaian al-Tirmizi dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman.

1. Kenyataan al-Tirmizi يضعف في الحديث terlalu mujmal (umum dan tidak dinyatakan sebab). Maka kita mesti meniliti sebabnya. Maka apabila telah jelas kedaifannya disebabkan oleh Faid Abu al-Warqa’ maka jelaslah bahawa ia daif berat. Cuba semak perawi yang dikatakan oleh al-Tirmizi dengan lafaz yang sama kepada perawi yang bernama Hafs bin Sulaiman. Bukankah Imam al-Tirmizi menyatakan beliau juga يضعف في الحديث? Cuba semak apa kata ulama hadis tentang Hafs:

– kata al-Bukhari: Ulama hadis meninggalkan (riwayat)nya.
– Kata soleh Jazarah: tidak ditulis hadisnya
– kata Ibn Adiy: kesemua hadisnya tidak terpelihara.
– kata ibn maien: tiada nilai

2. Kenyataan al-Baihaqi juga terlalu umum. Jika saya dianggap tidak berhati-hati kerana menyatakan hadis ini matruk (terlalu daif) bagaimana pula dengan Imam Ahmad? Bukankah beliau juga mengarahkan anaknya supaya membuang riwayat ini dari musnadnya kerana Faid Abu al-Warqa’ ini bertaraf matruk? Mari kita lihat apa kata anak Imam Ahmad:

فلم يحدثنا أبي بهذين الحديثين ضرب عليهما من كتابه لأنه لم يرض حديث فائد بن عبد الرحمن أو كان عنده متروك الحديث

Maksudnya: Ayah saya tidak meriwayatkan kepada kami dengan dua hadis ini (antaranya ialah kisah Alqamah). Beliau membuangnya dari kitabnya (musnad) kerana beliau tidak redha dengan Faid atau Faid matruk di sisinya (Rujuk: Musnad Ahmad, jld. 4, hlm. 382)

Penulis juga mungkin mengetahui bahawa Imam Ahmad tidak membuang mana-mana riwayat dalam musnadnya melainkan ia terlalu daif. (Rujuk: Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 1, hlm. 473)

Jawapan saya:

Saya merujuk al-Imam al-Baihaqi bukan untuk menyaingi pendapat al-Imam Ahmad, tetapi menunjukkan bahawa kisah ini tidak palsu. Bahkan, di sisi al-Imam Ahmad sendiri, matruk al-hadith pun tidak menunjukkan
kisah ini palsu sebagaimana yang saya cuba pertahankan. Tidak ada daripada awal saya cuba mensahihkan kisah ini. Tetapi, saya cuba menjelaskan ianya dari pelbagai sudut, tidak mungkin dituduh sebagai kisah yang palsu dan perawi kisah ini boleh dituduh sebagai dibelit oleh Iblis.

Kata beliau:

3. Mengenai al-Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan dari Faid.

– Saya keliru dengan hujah ini. Di manakah kedua-dua tokoh ini kata bahawa setiap perawi yang hadisnya ada dalam kitab mereka maka hadisnya boleh diterima? atau hadisnya daif ringan? Bukankah masih terdapat hadis terlalu daif dalam kedua-dua kitab ini? Mengapa ada hadis terlalu daif? Jawapannya kerana syarat piawaian mereka dalam sunan mereka bukan seperti syarat Bukhari dan Muslim yang mensyaratkan hanya hadis sahih sahaja yang boleh disebut dalam sahih mereka. Orang yang belajar ilmu metodologi muhaddithin pasti tahu perkara ini.

Jawapan saya:

Kalau faham apa yang saya cuba timbulkan, dia tidak akan keliru. Ia bertujuan untuk menetapkan bahawa riwayat Fa’id ini tidak sampai ke tahap boleh dinilai palsu, sebagaimana asas yang cuba saya pertahankan daripada awal. Tidak menafikan bahawa ia dinilai dhaif. Walaupun al-Imam al-Tirmizi dan al-Imam Ibn Majah tidak sampai tahap Sahih al-BUkhari dan Muslim, tetapi kutub sittah masih ada kedudukannya yang mana “orang yang belajar ilmu metodologi muhaddithin pasti tahu perkara ini.”

Beliau berkata lagi:

4. Akhirnya, adakah riwayat ini boleh digunakan dalam Fadhail A’mal atau dalam Tarhib?

– Saya katakan syarat fadhail amal ialah hadis tersebut mestilah daif yang ringan. Kisah Alqamah ini daifnya berat.

Kesimpulannya, jika terus berdegil mahu gunakan riwayat ini maka silakan. Cuma persiapkanlah hujah di hadapan Alqamah nanti kerana kita memburukkan peribadinya. Biarlah kita menahan lidah dari mencerca sahabat kerana kisahnya terlalu daif dari kita terus membawa cerita buruknya sedangkan belum pasti dia melakukannya. Adapun saya yang berpegang bahawa kisah ini matruk (terlalu daif), jika saya sesat dengan pandangan ini, maka bagaimana dengan Imam Ahmad? Fikirkanlah bagi mereka yang mahu berfikir.

SAya menjawab:

BUkan saya yang berdegil, tetapi kalau meriwayatkan kisah ini dinamakan berdegil, maka al-Imam al-Baihaqi, al-Imam Ibn Abi al-Dunya, al-Imam al-rafi’e, al-IMam al-Zahabi dan ramai lagi para ulama’ yang meriwayatkan kisah ini telah “berdegil”. Sudah pasti mereka lebih faham adab kepada para sahabat radiallahu ‘anhum ajma’in. Bahkan, kisah ini menunjukkan keagungan para sahabat radhiallahu ‘anhum sendiri ketika Allah swt menyelesaikan kekhilafannya di dunia. Berdasarkan cerita yang lebih terperinci, kekhilafan itu bukanlah suatu yang disengajakan, tetapi sekadar terlepas pandang. Bahkan, kisah ini diriwayatkan tanpa disebut nama dalam kebanyakan riwayat. Jika disebutkan pun, sekadar dikatakan, pemuda bernama alQamah, tanpa disebut ayahnya dan sebagainya. Biar apapun kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian para sahabat radhiallahu ‘anhum, kerana mereka tidak ma’shum, tetapi mereka adalah sebaik-baik generasi kerana bersambung dengan semulia-mulia insan, iaitu Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Kesalahan dalam kalangan mereka adalah kesalahan sebaik-baik generasi untuk pelajaran kita semua, kerna mereka adalah generasi yang dididik oleh Saidina Rasulullah shollalalhu ‘alaihi wasallam, yang sentiasa menyempurnakan diri mereka.

Tiada siapa menyesatkan sesiapa. Apa yang ditimbulkan daripada tajuk pertikaian saya “tidak sahih dan palsu”- katanya. Palsu tu yang saya pertikaikan daripada point pertama lagi. Bahkan, tidak timbul siapa pun dibelit oleh Iblis dan mudah2an kita semua dikurniakan ilmu dan adab. amiin…

Akhirnya kita bersetuju bahawa, kisah ini tidak jatuh ke tahap palsu dengan sebab perawi ini.

Alhamdulillah.

Saya ulangi sebagai penutup, adapun komen2 yang saya berikan ini sedikitpun tidak termasuk dalam menilai hadith ini atau memberi sebarang penilaian hukum tertentu terhadap kisah ini. Namun, ianya sekadar menilai komen-komen yang menilainya sebagai palsu, dengan beberapa ta’liqat. Ala kulli hal, saya bukanlah seorang naqid atau penilai sanad hadith sehingga layak memasuki gelanggang atau medan ini. Tetapi, selagimana tiada para nuqqad mutaqoddimin menilai kisah ini sebagai palsu, maka saya masih berpendirian ianya tidak sampai ke tahap palsu. Apatah lagi ianya diriwayatkan oleh beberapa imam hadith seperti al-Baihaqi, IBn Abi al-Dunya dan sebagainya.

Wallahu a’lam..

 Raja Ahmad Mukhlis