Ilmu Tasawuf itu Roh Islam

Dalam satu hadith yang agak panjang yang diriwayatkan daripada Sayyidina Umar ibn al-Khattab RA menceritakan bagaimana pada suatu hari ketika Baginda SAW sedang duduk bersama para Sahabat RAnhum, tiba-tiba datang seorang lelaki yang memakai baju serba putih, bersih dan tiada tanda kesan-kesan debu kerana musafir, masuk dan duduk mengadap Baginda SAW. Lelaki itu bertanyakan Baginda SAW berhubung dengan Islam, Iman, Ihsan, dan kiamat. Hadith ini amat terkenal dan dirakamkan dalam banyak kitab-kitab hadith termasuk Imam Nawawi RA menyebutnya dalam kitabnya yang terkenal “Hadith 40” Imam Nawawi.

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa Islam itu mempunyai tiga komponen utama iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Islam merupakan apa yang kita panggil rukun Islam hari ini yang mengandungi lima perkara, manakala Islam itu pula apa yang dipanggil rukun Iman yang mempunyai enam perkara manakala Ihsan pula ialah prinsip “Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, jika engkau tidak melihatNya, yakinlah Allah melihatmu”. Aspek Islam seringkali merujuk kepada perlakuan ibadat khususiah seperti solat, puasa, zakat, haji selain daripada mengucap dua kalimah Syahadah, manakala Iman pula merujuk kepada pegangan atau aqidah seseorang meliputi beriman kepada Allah, Hari Akhirat, para Rasul, para Malaikat Kitab-kitab dan Qada’ dan Qadar. Namun tidak ramai yang memahami bahawa satu lagi kompenen Islam iaitu Ihsan yang meliputi aspek batin atau akhlak dengan Allah SWT dan sekalian makhluknya juga perlu ditititberatkan.

Sejak sekian lama, para ulama seperti Imam al-Ghazali RA melihat bahawa disiplin ilmu yang mendalami ketiga-tiga aspek Islam ini iaitu Islam, Imam dan Ihsan perlu diajar kepada setiap muslim dan menjadi fardu ain kepada semua mukallaf untuk memahami dan mengamalkannya. Hari ini disiplin ilmu–ilmu itu dikenali sebagai fekah, akidah dan tasawuf.

Apa yang mendukacitakan kita sementara ilmu fekah dan akidah rancak diajar, namun ilmu tasawuf seolah dipandang serong oleh segelintir masyarakat seolah ianya bukan daripada ajaran Islam, bukan daripada tradisi keilmuan Islam. Ada yang menuduh kononnya sebagai ilmu saduran agama asing sehingga sanggup mentohmah tasawuf sejijik “air longkang”.

Kalau diteliti, sejarawan seperti seperti Ibn Khaldun (w.1406) misalnya menyebut dalam kitabnya Mukaddimah bahawa tasawuf merupakan salah satu cabang daripada tradisi ilmu Islam manakala dalam Shifa’ al-sail beliau membahaskan panjang lebar berhubung dengan kedudukan ilmu tasawuf. Begitu juga ulama-ulama dan sejarahwan lain, rata-rata bersetuju bahawa ilmu tasawuf merupakan salah satu daripada cabang ilmu yang amat penting dalam pengajian Islam. Hari ini ada suara-suara yang alergik dengan nama ilmu “tasawuf”, sebaliknya lebih selesa menggunakan nama “ilmu akhlak”, “tazkiyatul nafs” atau seumpamanya sedangkan nama tasawuf ini sudah wujud ratusan tahun dulu tanpa ada sebarang penentangan pun. Antara alasannya kerana nama ilmu “tasawuf” itu tidak pernah wujud di zaman Nabi Muhammad SAW. Adakah nama ilmu-ilmu lain seperti ilmu “aqidah”, “tajwid” “mustalahah hadith” dan lain-lain wujud dalam bentuk disiplin ilmu tersusun seperti hari ini? Sudah pasti juga tidak. Oleh itu wujudnya nama-nama disiplin ilmu tertentu yang tiada di zaman Nabi SAW tidak menjadi alasan untuk menolaknya jika prinsip-prinsipnya ada dalam agama.

Di mana pentingnya ilmu tasawuf?

Pentingnya ilmu tasawuf ini ialah kerana ilmu tasawuf inilah ilmu yang mendidik kita untuk khusyuk dalam solat, ikhlas dalam ibadah, dan bersih daripada sifat-sifat keji (mazmumah) dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah) sehingga kita mampu beribadah kepada Allah SWT “seolah-olah kita melihatNya, dan jika kita tidak melihatNya kita yakin Allah SWT melihat kita”. Para imam Mazhab Empat begitu menekankan agar aspek-aspek batin ini diberi penekanan sepertimana pentingnya juga amalan zahir sehingga Imam Malik RA diriwayatkan menyebut “sesiapa yang bertasawuf tetapi mengabaikan fekah, maka dia akan menjadi zindiq, manakala sesiapa memberatkan fekah mengabaikan tasawuf maka dia akan menjadi fasiq, sesiapa yang menggabungkan kedua-duanya maka dialah yang sebenarnya”

Tasawuf merupakan disiplin ilmu yang amat penting lebih-lebih lagi di zaman manusia rakus dengan dunia dan gilakan kemewahan kebendaan. Tanpa mendalami ilmu tasawuf, kita akan menjadi manusia berjasad tanpa roh. Kerosakan akhlak menjadi semakin berleluasa dan rasuah bermaharajalela kerana manusia tidak merasakan bahawa Allah SWT sedang memerhatinya.

>> artikel ini pernah diterbitkan dalam Berita Harian 11 April 2015

Comments are closed.