Apa itu Tasawwuf?

Apa itu Tasawwuf?

Tasawwuf  ialah salah satu cabang teras ilmu Islam yang wujud sejak zaman berzaman yang sangat penting dalam tradisi ilmu Islam. Ianya memfokuskan kepada pembangunan rohani atau batiniah dan pembinaan akhlak seseorang Islam. Namun malang sekali,  hari ini kalimah “tasawwuf”  telah disalahfahami dan adakalanya dicemari. Melalui ruangan ini akan kita perjelaskan dari semasa ke semasa faham tasawwuf yang sebenar agar kemurnian ilmu tasawwuf itu dapat dikembalikan, insya Allah.

Bagaimana Asal Muncul Ilmu Tasawwuf?

Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai sumber ilmu untuk seluruh manusia. Baginda adalah sebaik-baik makhluk dan sesempurna kejadian. Tiada seorang manusia pun yang boleh menandingi Baginda SAW dari segi kesempurnaannya. Melalui lidah mulia Baginda SAW, kita menerima wahyu Allah  SWT yang dinamakan al-Qur’an. Seterusnya Baginda SAW menjelaskan lagi berhubung dengan al-Qur’an dan Islam melalui Hadithnya.

Selepas Baginda SAW wafat (w. 11H / 632M), tiada lagi manusia sempurna (insan kamil)  yang boleh menjawab semua persoalan dan memandu umat ke jalan yang diredhai Allah SWT. Lantas para  ulama merasakan perlunya mempertahankan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW agar tidak berlaku penyelewengan dari sumber asalnya. Maka ilmu-ilmu Islam mula berkembang yang kesemuanya diambil sandarannya  berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith Baginda SAW. Dari situlah ilmu seperti ilmu Tafsir, ilmu Hadith, ilmu Fekah, ilmu Tajwid, Aqidah, Nahu dan pelbagai disiplin ilmu Islam yang lain muncul. Imam Abu Hanifah (w. 157H / 767M) misalnya mengembangkan ilmu fekah dan selepas beliau termasuk Imam Malik (w.175H / 795M), Imam Shafi’e (w. 205H / 820M) dan Imam Ahmad bin Hanbal (w.241H/ 855M) dan ribuan para ulama lain selepas mereka ini yang turut menjelaskan tentang persoalan fekah. Begitu juga Imam Bukhari (w.256H/ 870M) menjadi pengasas kepada ilmu Hadith dan selepas beliau muncul ulama-ulama hadith lain yang menjejaki usaha beliau.

Setiap ilmu itu muncul demi menjaga keaslian ajaran baginda Rasulullah SAW dari diselewengkan. Ilmu Tafsir misalnya, bagi menjaga tafsir ayat-ayat Allah agar tidak ditafsir sewenang-wenangnya; ilmu Hadith, bagi menjaga Sunnah Nabi SAW, membezakan antara hadith yang sahih dan palsu dan pelbagai jenis hadith yang lain;  ilmu Tajwid bagi menjaga kesucian bacaan al-Qur’an yang betul seperti yang diajarkan  oleh Baginda SAW, dan begitu juga ilmu-ilmu lain yang setiap satunya mempunyai matlamatnya menjaga aspek atau disiplin tertentu dari ajaran Islam. Kesemua ilmu-ilmu ini tidak pernah wujud di zaman Rasulullah SAW sebagai suatu “disiplin yang khusus”  kerana ianya tidak perlu memandangkan Rasulullah SAW masih hidup dan segala persoalan boleh terus dimajukan kepada Baginda SAW untuk jawapan. Tetapi apabila Baginda SAW wafat, di sana ada keperluan yang dirasakan oleh para ulama agar umat terbimbing dan kemurnian ajaran Islam dapat dipertahankan.

Begitu juga kemunculan ilmu Tasawwuf  ini adalah berdasarkan keperluan semasa setelah semakin jauhnya umat Islam dengan zaman Baginda Rasulullah SAW, penghayatan terhadap ajaran Islam juga semakin luntur. Apabila Empayar Islam semakin meluas, kecintaan kepada harta benda duniawi menjadi melampau sehingga menghilangkan fokus terhadap matlamat manusia diutuskan Allah SWT di atas mukabumi. Sifat-sifat keji (mazmumah) semakin subur sehingga membawa kepada perpecahan dan perbalahan yang parah di kalangan umat Islam.

Ilmu Tasawwuf ini adalah untuk mengembalikan  manusia kepada fitrahnya yang asal yang suci bersih melalui amalan-amalan penyucian diri rohani (hati) dari sifat-sifat keji (mazmumah) dan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Sebagai contoh bagaimana untuk bersifat dengan sifat ikhlas dan membuang perasaan riya’, takabbur, hasad dengki dan seumpamanya. Bagaimana untuk bersifat ihsan iaitu  “menyembah Allah sepertimana kamu melihatNya, dan jika kamu tidak melihatNya, yakinlah  Allah  melihatmu”  seperti yang disebutkan dalam Hadith Jibril a.s yang terkenal itu.  Aspek ini semua  ditekankan dalam bidang ilmu yang dipanggil ilmu Tasawwuf. Ada juga nama-nama selain ilmu Tasawwuf seperti Ilmu Akhlak, Tahzib al-Akhlaq, Tazkiyat al-Nafs, Ilmu Ihsan dan sebagainya, tetapi semuanya membawa maksud yang satu dan menjurus kepada matlamat yang sama.

Apakah Matlamat Ilmu Tasawwuf?

Rasulullah SAW merupakan model ikutan umat Islam dalam semua aspek kehidupan. Mengikut Rasulullah SAW bukan sahaja amalan luaran zahirnya sahaja tetapi sepatutnya turut mencontohi Baginda SAW dalam amalan batinnya. Bagaimana Rasulullah mengajar untuk bersifat ihsan dalam kehidupan seharian. Hakikatnya dalam kehidupan kita ini, semua perbuatan terbahagi kepada dua aspek, iaitu luaran dan dalaman atau zahir dan batin. Sebagai contoh, solat. Yang zahir yang dilihat orang  ialah pergerakan kita dari satu rukun fi’li ke rukun yang lain, manakala yang batinnya yang tidak diketahui sesiapa pun ialah aspek “khusyuk” dalam solat itu. Begitu juga dalam bersedekah, yang zahirnya ialah jumlah wang atau barangan yang disedekahkan, tetapi aspek batinnya ialah bagaimana kedudukan hati orang bersedekah itu ketika beliau melakukan amalan tersebut. Adakah beliau ikhlas atau sebenarnya untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian manusia?

Kedua-dua aspek zahir dan batin adalah penting dalam Islam. Ilmu tasawwuf menitikberatkan model Rasulullah SAW dalam aspek batin, manakala aspek zahir amal ibadat dibincangkan dalam ilmu yang disebut ilmu Fekah. Seseorang yang solat dari segi fekahnya mungkin kelihatan memenuhi syarat sahnya, tetapi hatinya sebenarnya lalai dari mengingati Allah SWT lalu solatnya menjadi sia-sia bahkan tercela. Orang yang berpuasa misalnya mungkin tidak makan dan minum serta menahan diri dan perkara yang membatalkan puasa sejak terbit fajar hingga terbenam matahari. Dari segi hukum fekah puasanya sah, tetapi beliau sebenarnya tidak menjaga anggota matanya, telinganya, lidahnya dan anggota-anggota lain seperti mengumpat, memfitnah orang dan seumpamanya. Hatinya masih lalai dari mengingati Allah dan masih bersangka buruk terhadap orang lain, bredendam, hasad. Ini menjadikan puasanya walaupun sah tetapi kurang “markah” bahkan boleh menjadi sia-sia sahaja dan beliau memperolehi lapar dan dahaga sepertimana disebutkan dalam banyak hadith Nabi SAW. Persoalan seumpama ini cuba ditangani oleh para ulama tasawwuf yang cuba untuk mendidik hati agar sentiasa berada dalam kesedaran ketuhanan (muraqabah) setiap masa, menyucikan hati dari sifat-sifat keji dan tercela sehingga menjadi hati yang sihat sejahtera (qalbun salim). Professor Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan tasawwuf dengan begitu menarik sekali dengan ungakapannya  “beramal dengan syariat pada maqam ihsan”.  Wallahu’alam.

Be First to Comment

Leave a Reply