Sambut Hari Ibu Haram?

Ada segelintir para asatizah kita yang mendakwa haram hukumnya untuk merayakan Hari Ibu kerana katanya ianya menyamai sambutan orang bukan Islam. Ini kerana, kata mereka lagi apabila menyamai amalan orang bukan Islam maka hukumnya Haram berdasarkan hadith, mafhumnya:

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”

[Hadits Sahih – diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir]

Ada juga yang berhujah kononnya ianya ada kena mengena atau berasal dari sambutan hari Mother’s Church dan pelbagai lagi yang dikaitkan dengan ajaran Kristian. Ini menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat yang tidak sepatutnya wujud. Pandangan ini sebenarnya tidak mewakili pandangan ulama’ semasa yang majoritinya setelah mengkaji dan meneliti perkara ini dengan teliti dan terperinci memutuskan bahawa ianya dibolehkan atau harus. Rata-rata ulama’ mutakhir melihat menyambut Hari Ibu ini dibenarkan dan tiada kena mengena dengan ajaran Kristian seperti Mothering Sunday atau Cybele oleh masyarakat Yunani Kuno atau sambutan Hilaria kaum Romawi kuno, bahkan di Barat sendiri Mother’s Day zaman moden ini tiada unsur agama lagi.

Di Barat sambutan Hari Ibu  (Mother’s Day) zaman moden ini dimulakan oleh Anna Jarvis untuk merayakan ibunya pada tahun 1908. Anna seterusnya berjuang agar ianya menjadi hari tahunan bukan sahaja untuk negara Amerika bahkan seluruh dunia.

Ulama terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi misalnya tidak melihat ianya sesuatu yang Haram walaupun berpandangan “setiap hari itu ialah Hari Ibu”. Beliau berpandangan bahawa selagi tiada nas atau dalil yang mengharamkannya, maka ianya adalah mubah (harus). Terpulanglah mahu disambut atau tidak. Jika disambut maka batas-batas syariat itu perlu dijaga sepertimana kelaziman majlis-majlis lain.

Begitu juga mantan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang pernah dipetik berkata:

Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang. Kita menerima dan meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa yang mengingatkan kasih sayang kepada ibu dan bapa kita,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day.

Pandangan-pandangan yang membenarkan juga boleh dilihat pada laman web Imam Suhaib Webb. Bahkan Imam Suhaib Webb menjelaskan bahawa dalam hal seumpama ini para ulama seringkali berbeza pandangan termasuk dalam isu sambutan hari al-Rajabiyah yang dirayakan sebelum kedatangan Islam. Beliau seterusnya mengungkapkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim menyebut bahawa Rasulullah SAW juga pernah membenarkan sambutan kemenangan kabilah Arab dalam Peperangan Bu’ath sepertimana Hadith yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. Peperangan tersebut adalah antara kaum ‘Aus menentang kaum Khazraj yang berlaku pada tahun 617M. Walaupun umat Islam tidak terlibat dalam peperangan tersebut, namun Rasulullah SAW menyetujui sambutan kegembiraan tersebut. Di sini jelas menjadi dalil bahawa tidak semua yang asing itu haram, bergantung kepada konteks dan suasana.

Begitu juga Dr. Zaharuddin Abdul Rahman turut melihat ianya sesuatu yang baik sebagai tanda menghargai para ibu-bapa dan tidak boleh dianggap meniru Barat.

Sebenarnya banyak benda dalam hidup kita dan budaya kita yang kita tiru dan ambil dari bangsa lain, namun kerana ianya tiada unsur-unsur agama dan baik dari segi semangatnya selari dengan ajaran dan tuntutan Islam, ianya boleh diamalkan. Samalah seperti sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Pekerja, Hari Jururawat, Hari Belia, Hari Guru, Hari Polis, Hari Tentera, Hari Radio, Hari Jadi (Birthday), Hari Ulangtahun Perkahwinan dan 1001 macam hari lagi yang disambut di seluruh dunia yang jika ianya baik dan tiada unsur-unsur agama asing / syirik/ khurafat maka ianya tiada halangan untuk diamalkan. Ada hadith yang suruh sambut? Tiada. Tetapi ada hadith yang larang? Pun tiada. Jadi kembali kepada kaedah “setiap sesuatu itu harus melainkan ada dalil-dalil yang mengharamkannya”.  Selama mana tiada unsur-unsur yang menyalahi aqidah dan tidak menyamai (tasyabbuh) amalan keagamaan orang bukan Islam, maka ianya diharuskan selama mana batas dan adab syarak dijaga.

Untuk kita dihukum meniru dalam hal begini bukanlah termasuk dalam hadith “tasyabbuh” atau meniru yang diharamkan oleh Islam walaupun mungkin asalnya dari bangsa asing. Saya teringat ketika belajar dulu pernah seorang rakan menanya sheikh apakah hukum memakai pakaian berjenama “Nike” kerana kalimah “Nike” itu sebenarnya dari segi etimologi berasal dari Yunani kuno yang membawa maksud “Tuhan / Dewi Kejayaan” (Goddess of Victory and Triumph). Sheikh tersebut menjawab, masih adakah hari ini orang yang menggunakan produk berjenama berkenaan beri’tiqad untuk memuja atau mengangungkan “Tuhan / Dewi Kejayaan” tersebut? Rasanya tidak, bahkan mungkin tiada orang pun yang peduli tentang asal usul berkenaan, jadi di mana salahnya?

Di musim Sukan Olimpik yang dipertandingkan setiap empat tahun sekali itu, kalau dikaji sejarah kunonya, ianya bermula dengan kepercayaan masyarakat Yunani kuno terhadap mitologi kononnya Dewa Heracles yang merupakan anak kepada Dewa Zeus yang mengasaskannya dan Heraclas lah yang mula-mula memperkenalkan kalimah “Olympic” itu. Itulah kepercayaan kuno dulu, tetapi adakah mereka yang menyertai Sukan Olimpik moden hari ini masih berpegang kepada kepercayaan kuno tersebut, termasuk kontinjen negara umat Islam seperti Malaysia, misalnya?

Kalaulah diambil kaedah asal usul ini tanpa mengambikira perkembangan semasa yang berubah dan sudah pun tiada kena mengena dengan asal tersebut, maka memakai apa jua jenama produk Nike itu juga haram kerana ianya berasal dari kepercayaan agama Yunani kuno, begitu juga menyertai Sukan Olimpik itu haram, dan begitu jugalah perkara-perkara lain yang asing yang banyak akan jatuh haram. Kaedah fiqh juga ada menyebut apabila berubahnya keadaan, hukum juga boleh berubah.

Kesilapan yang berlaku apabila ada yang mengaitkan Hari Ibu dengan Mother’s Church atau Mothering Sunday sepertimana yang didakwa oleh al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus. Hari Ibu atau  Mother’s Day dan Mothering Sunday merupakan sambutan dua hari yang berbeza. Yang pertama tiada kaitan dengan agama, manakala yang kedua ada.

Sebagai rumusan, kita nukilkan juga pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang turut menfatwakan ianya harus dengan syarat-syarat.

Kesimpulannya, samada seseorang itu hendak sambut atau tidak Hari Ibu atau Hari Bapa itu terpulanglah. Apa yang penting jangan derhaka kepada kedua-dua ibubapa. Itu yang pasti HARAM.

wa-Llahu’alam.

Baca juga:

Can I Celebrate Mother’s Day? (Imam Suhaib Webb)

Opinions of scholars

____________________________________________________________________

Di bawah ini disalin kembali dengan izin penulis, jawapan dari al-Fadhil Ustaz Ayman al-Akiti hafizahullah, pelajar Sarjana (MA) di Universiti of Hassan II, Casablanca Morocco. Beliau mendapat pendidikan di pesantren di Kediri, Surabaya dan Ijazah Sarjana Muda dari salah sebuah IAIN  di Indonesia. Berpengalaman bertalaqqi dengan kiyai-kiyai di Indonesia selama 13 tahun dan pakar rujuk Bahth al-Masail di Indonesia.

Jawapan dari al-Fadhil Ustaz Ayman al-Akiti:

Salah seorang kawan ana bertanyakan hukum merayakan hari ibu. Ada yang mengharamkan dan ada yang menghalalkan. Menurut pandangan ana, merayakannya adalah harus @ jawaz, selagi tidak disertai perkara2 yang diharamkan. Ini disebabkan, perayaan ini tidak ada kaitannya dengan unsur2 akidah agama lain, walaupun mungkin dimulakan oleh orang non muslim. Apatah lagi, perayaan ini sudah menjadi universal dan merentasi berbagai budaya. Ini tentunya berbeza dengan valentines day yang jelas-jelas menyimpan budaya maksiat yang tidak Islami juga sejarahnya yang pahit. Hujjah precedent ana tidak lain sudah dikemukakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haytami di dalam kitab al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah sebagai berikut:

فتاوى الكبرى الفقهية جزء 4 ص 239 البلاق :

( باب الردة ) ( وسئل ) رحمه الله تعالى ورضي عنه هل يحل اللعب بالقسي الصغار التي لا تنفع ولا تقتل صيدا بل أعدت للعب الكفار وأكل الموز الكثير المطبوخ بالسكر وإلباس الصبيان الثياب الملونة بالصفرة تبعا لاعتناء الكفرة بهذه في بعض أعيادهم وإعطاء الأثواب والمصروف لهم فيه إذا كان بينه وبينهم تعلق من كون أحدهما أجيرا للآخر من قبيل تعظيم النيروز ونحوه فإن الكفرة صغيرهم وكبيرهم وضعيفهم ورفيعهم حتى ملوكهم يعتنون بهذه القسي الصغار واللعب بها وبأكل الموز الكثير المطبوخ بالسكر اعتناء كثيرا وكذا بإلباس الصبيان الثياب المصفرة وإعطاء الأثواب والمصروف لمن يتعلق بهم وليس لهم في ذلك اليوم عبادة صنم ولا غيره وذلك إذا كان القمر في سعد الذابح في برج الأسد وجماعة من المسلمين إذا رأوا أفعالهم يفعلون مثلهم فهل يكفر , أو يأثم المسلم إذا عمل مثل عملهم من غير اعتقاد تعظيم عيدهم ولا افتداء بهم أو لا ؟ ( فأجاب ) نفع الله تبارك وتعالى بعلومه المسلمين بقوله لا كفر بفعل شيء من ذلك فقد صرح أصحابنا بأنه لو شد الزنار على وسطه , أو وضع على رأسه قلنسوة المجوس لم يكفر بمجرد ذلك ا هـ . فعدم كفره بما في السؤال أولى وهو ظاهر بل فعل شيئا مما ذكر فيه لا يحرم إذا قصد به التشبه بالكفار لا من حيث الكفر وإلا كان كفرا قطعا (1) فالحاصل أنه إن فعل ذلك بقصد التشبه بهم في شعار الكفر كفر قطعا ,(2) أو في شعار العبد مع قطع النظر عن الكفر لم يكفر ولكنه يأثم (3) وإن لم يقصد التشبه بهم أصلا ورأسا فلا شيء عليه ثم رأيت بعض أئمتنا المتأخرين ذكر ما يوافق ما ذكرته فقال ومن أقبح البدع موافقة المسلمين النصارى في أعيادهم بالتشبه بأكلهم والهدية لهم وقبول هديتهم فيه وأكثر الناس اعتناء بذلك المصريون وقد قال صلى الله عليه وسلم { من تشبه بقوم فهو منهم } بل قال ابن الحاج لا يحل لمسلم أن يبيع نصرانيا شيئا من مصلحة عيده لا لحما ولا أدما ولا ثوبا ولا يعارون شيئا ولو دابة إذ هو معاونة لهم على كفرهم وعلى ولاة الأمر منع المسلمين من ذلك ومنها اهتمامهم في النيروز بأكل الهريسة واستعمال البخور في خميس العيدين سبع مرات زاعمين أنه يدفع الكسل والمرض وصبغ البيض أصفر وأحمر وبيعه والأدوية في السبت الذي يسمونه سبت النور وهو في الحقيقة سبت الظلام ويشترون فيه الشبث ويقولون إنه للبركة ويجمعون ورق الشجر ويلقونها ليلة السبت بماء يغتسلون به فيه لزوال السحر ويكتحلون فيه لزيادة نور أعينهم ويدهنون فيه بالكبريت والزيت ويجلسون عرايا في الشمس لدفع الجرب والحكة ويطبخون طعام اللبن ويأكلونه في الحمام إلى غير ذلك من البدع التي اخترعوها ويجب منعهم من التظاهر بأعيادهم ا هـ .

 

Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar memberikan 3 dhabit menentukan perayaan non Islam itu: 1- Haram dan jatuh kafir ketika perayaan itu ada unsur menyamai mereka dan ridha dengan kekafiran mereka serta berniat mensyiarkan kekufuran mereka. 2- Tidak jatuh kafir akan tetapi dosa ketika berniat menghidupkan perayaan mereka tapi tidak di sisi kekafiran mereka. 3- Harus ketika tidak ada niat menyamai mereka sama sekali sama ada dari sisi perayaan mereka maupun kekafiran mereka akan tetapi kebetulan yang sudah menyamai dengan budaya yang universal.

Maka, hukum merayakan hari ibu adalah harus menurut ana, kerana ia sama sekali bukan perayaan non muslim, baik dari sisi agama mereka, maupun dari sisi budaya khusus mereka. Ia adalah perayaan yang universal untuk mengenang jasa-jasa Ibu yang kalau kita nak merayakannya setiap hari lebih bagus seperti kita merayakan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Wallahu a’lam bisshawab.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *