Erti Kemerdekaan

Alhamdulillah, negara kita telah mencapai kemerdekaan kali ke-55. Bersyukurlah. Banyak negara hari ini yang masih huru-hara – Syria, Palestin, Afghanistan, Iraq, etnik Rohingya di Myanmar…Mereka mungkin bukan dijajah oleh penjajah asing, tetapi negara mereka tidak aman, kehidupan yang tidak menentu. Untuk beribadat pun sukar. Islam menganjurkan kita bersyukur terlebih dahulu atas segala nikmat anugerah illahi, maka selepas itu barulah kita berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik. Jika kita merdeka, lihat negara yang belum merdeka. Jika kita aman, lihat negara yang huru-hara. Jika kita senang, lihat orang yang susah…dan seterusnya.

Maka hanya dengan itu baru kita akan merasa bersyukur. Ini sesuai dengan Sabda Baginda SAW agar kita melihat orang yang kurang daripada kita, bukan lebih daripada kita:

انْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ. وَلاَ تَنْظُرُوا إِلَىٰ مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ. فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لاَ تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللّهِ

Maksudnya: “Lihatlah pada mereka yang di bawah kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu. Hal itu lebih wajar bagi kamu agar tidak meremehkan nikmat yang Allah berikan kepada kamu”. (Muslim,  no 7379).

Bersyukur bukan bermakna berpuashati dan berpeluk tubuh. Tidak. Bersyukur adalah asas untuk kita berterima kasih kepada Allah atas nikmatnya dan tidak meremehkan nikmatNya. Ianya juga sebagai tanda berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang telah mengorbankan jiwa dan raga membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan. Di samping bersyukur kita perlu terus berusaha untuk mencapai keadaan yang lebih baik. Ini juga anjuran Islam agar terus membina kecemerlangan (itqan).

Hakikatnya, masih banyak dalam negara kita ini yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Kita walaupun bebas dari segi dijajah oleh penjajah, namun minda kita masih dijajah. Pengaruh-pengaruh luar yang merosakkan aqidah terus “menjajah” kita melalui alam siber, TV satelit dan segala kemudahan teknologi moden hari ini. Begitu juga yang merasakan pihak-pihak tertentu itu yang menentukan rezeki dan periuk nasi kita walhal Allah Al-Razzaq yang memberikan rezeki kepada semua. Lalu bodek membodek, ampu mengampu, kipas mengipas menjadi budaya dalam masyarakat kerana jiwa yang tidak merdeka.

Merdeka yang sebenar ialah apabila kita meletakkan pengabdian kita mutlak kepada Allah SWT. Tiada yang boleh memberi mudarat dan manfaat melainkan dengan kehendak Allah belaka. Inilah juga rumusan yang boleh diambil dari kata-kata Rabi’ bin Amir ketika berhadapan dengan pemimpin Rustam:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة

“Sesungguhnya Allah membangkitkan kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendakiNya dari menghambakan diri sesama makhluk kepada menghambakan diri kepada Allah…”

Memadai jika kita berpegang tentang fahaman ini sebagai Erti Kemerdekaan yang sebenar. Wallahu’alam.

Be First to Comment

Leave a Reply