Hijrah: Muhasabah Untuk Berubah

YBhg. Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran di radio IKIMfm Jumaat lepas jam 10.15 pagi berbicara tentang “Muhasabah Untuk Berubah”. Kita masih berada di minggu pertama Muharram dalam tahun hijrah 1439. Setiap kali peristiwa hijrah, kita sentiasa mendengar perbincangan berhubung dengan Hijrah Baginda SAW dengan segala pengorbanan Baginda SAW dan parah Sahabat RA. Namun satu aspek lagi apabila bertambahnya tahun, bermakna bertambahnya umur kita. Terasa betapa cepatnya masa berlalu. Dengan bertambahnya tahun bermakna usia kita juga bertambah. Itulah realitinya apabila bertambah hari kita, tahun kita, maka bermakna usia kita juga turut bertambah cuma yang kita tidak pasti ialah berapakah lagi baki hari kita di atas mukabumi ini.  Tiada siapapun yang tahu berapa lama kita akan berada di atas mukabumi ini hatta Baginda SAW sendiri tidak tahu berapa lama Baginda SAW akan berada di atas mukabumi ini.

Dan kerana itu kita katakan dengan kedatangan Tahun Hijrah ini, kita perlu bermusahabah kerana Allah SWT telah memberi peluang kedatangan tahun baru, peluang hidup, walaupun kita bukanlah hamba Allah yang taat dan penuh dengan dosa dan sering melakukan maksiat  namun Allah SWT terus menerus memberi peluang kepada kita setahun demi setahun agar kita berubah ke arah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Betapa rahmat dan rahimnya Allah SWT apabila tidak pernah berhenti memberi kita peluang demi peluang walaupun setiap kali peluang yang diberikan itu disia-siakan. Justeru dengan kedatangan tahun hijrah yang baharu ini, hendaklah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk bermusahabah agar kita berubah menjadi insan yang lebih baik daripada tahun lepas.

Dalam satu hadith Baginda SAW menyebut, mafhumnya: “orang Islam itu ialah dia yang selamat orang lain daripada lidahnya dan tangannya, dan orang yang berhijrah ialah orang yang berpindah daripada apa yang dilarang oleh Allah SWT (kepada yang tidak dilarang)” (HR Bukhari). Ini bermaksud hijrah itu ialah kita meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT  kepada ketaatan kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hasyr 18-19, mafhumnya “wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah!,  dan hendaklah setiap diri itu memerhatikan apa yang dipersiapkan untuk hari esoknya (hari Akhirat),  bertaqwalah (kamu kepada Allah)! Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan”.

Bila kita sebut Hijrah, hendaklah ia mengingatkan kita tentang taqwa, pengorbanan, dan ingatkan bahawa masa telah berlalu dengan pantasnya dan baki masa kita di dunia ini semakin singkat. Apabila masa itu berlalu dengan pantas itu juga merupakan tanda-tanda kiamat kecil. Hijrah itu ialah peluang dan perancangan untuk masa depan. Dalam ayat Surah al-Hasyr di atas, “esok hari” itu merujuk kepada Hari Akhirat, bukan esok di dunia ini. Ini menjadi dalil betapa perancangan untuk kehidupan di Akhirat itu amat penting sekali dan ia bermula dengan kehidupan di dunia ini. Kerana itulah Hijrah itu boleh kita katakan peluang, dan apabila kita melihat ada peluang maka kita merancang untuk merebut peluang tersebut. Lantaran itulah Baginda SAW menyebut, berhubung hadith yang sering disebutkan iaitu rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain.  Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, orang muda mempunyai segala kekuatan dan kegagahan; rebutlah masa kayamu sebelum datanglah masa miskinmu. Masa kita miliki pada kini gunakanlah untuk bersedekah atau seumpamanya. Jangan kita tunggu untuk jadi kaya raya baru kita nak bersedekah. Memadai apa yang kita ada itu kita gunakan untuk bersedekah; rebutlah waktu sihatmu sebelum tiba waktu sakitmu; waktu lapangmu sebelum datang waktu suntukmu.  Akhir sekali yang kelima pesan Nabi SAW ialah “waktu hidupmu sebelum tiba matimu”. Sebab itu kita kena merancang supaya kita dapat kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin agar kita tidak terlepas masa yang sedang kita miliki. Hari ini kita menyesal, namun ia masih belum terlewat tetapi sekiranya kita telah tiada usia (mati) maka pada ketika itu penyesalan kita tidak lagi memberi apa-apa makna. Sementara kita mempunyai masa ini maka ambillah iktibar agar dengan kedatangan tahun Hijrah yang baharu ini memberi musahabah kepada kita agar menggunakan sebaik mungkin masa yang berbaki di dunia ini agar menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT.

 

[Rencana ini merupakan suntingan bebas dan inspirasi daripada rancangan Tarbiyyah yang disiarkan di radio IKIMfm. Ia telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 29 September 2017. Sebarang kesilapan adalah kesalahan penyunting]

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *