Imam al-Ghazali & Ilmu Hadith

1.  Sikap sesetengah para pelajar hadith masakini terutama yang terus menerus menimbulkan polemik Hadith Palsu dalam Ihya’ Ulum al-Din karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali RA amatlah tidak beradab. Lebih-lebih lagi ada pula sesetengahnya seolah menggambarkan Imam al-Ghazali jahil ilmu hadith sedangkan sekalian ulama-ulama besar di zaman silam semuanya memuji beliau, dan memandang tinggi keilmuannya. Imam al-Ghazali RA sebagai manusia biasa sudah pasti ada kelemahan, kesilapan dan tidak maksum, namun kelemahannya itu terlalu kecil berbanding dengan keilmuan dan jasanya yang amat besar buat umat Islam.

2. Al-Hafizh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam an-Nubala’ (XIX/322) berkata:

الغَزَالِي الشَّيْخ الاِمَام البَحْر، حُجَّةُ الاِسْلاَم، أُعْجُوْبَة الزَّمَان، زَيْنُ الدِّيْن أبُو حَامِد صَاحِبُ التَّصَانِيْف، وَالذَّكَاء المُفْرِط

“Al-Ghazali adalah syaikh (mulia), panutan, ilmunya bak lautan, hujjatul Islam, seseorang yang mengagumkan zaman, hiasan agama, Abu Hamid, pemilik banyak karya cipta dan kecerdasan yang luar biasa”

3. Al-Hafizh Abdul Ghafir, dikutip Imam Tajuddin as-Subki dalam Thabaqat asy-Syafi’iyyah (VI/204), berkata:

أبُو حَامِد الغَزَالي حُجَّة الإسْلامِ وَالمُسْلِمِيْن إمَامُ أَئِمَّةِ الدِّيْن مَنْ لَمْ تَرَ العُيُوْنُ مِثْلَهُ

“Abu Hamid al-Ghazali, Hujjatul Islam dan muslimin, imam-nya para imam-imam agama, seseorang yang mata tidak pernah melihat orang semacam dia”

4. Al-Hafizh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wan Nihayah (XII/214):

وَبَرِعَ فِيْ عُلُوْمٍ كَثِيْرَةٍ، وَلَهُ مُصَنَّفَاتٌ مُنْتَشِرَةٌ فِيْ فُنُونٍ مُتَعَدِّدَةٍ، فَكَانَ مِنْ أَذْكِيَاءِ العَالَمِ فِيْ كُلِّ مَا يَتَكَلَّمُ فِيْهِ

“Al-Ghazali unggul dalam banyak ilmu, dia mempunyai karya cipta yang tersebar dalam kajian fan (cabang) yang bermacam-macam, ia adalah termasuk orang cerdasnya alam ini dalam setiap yang ia katakan”

5. Berkenaan dengan karya “Magnum Opus” beliau iaitu Ihya’ Ulumuddin yang ditohmah secara zalim oleh segelintir masyarakat hari ini sebenarnya sudah ratusan tahun dahulu dijawab oleh ulama-ulama hadith yang pakar, Dalam kitab Ta’rif al-Ahya’ bi Fadhail al-Ihya (hal. 32) dinaqal ucapan al-Hafizh al-Iraqi berikut:

اِنَّ اَكْثَرَ مَا ذَكَرَهُ الغَزَالِيّ لَيْسَ بِمَوْضُوْعٍ كَمَا بُرْهَنَ عَلَيْهِ فِيْ التَّخْرِيْجِ وَغَيْرُ الاَكْثَرِ وَهُوَ فِيْ غَايَةِ القِلَّةِ رَوَاهُ عَنْ غَيْرِهِ اَوْ تَبِعَ فِيْهِ غَيْرَهُ مُتَبَرِّئًا بِنَحْوِ صِيْغَةِ رُوِىَ عَنْهُ وَاَمَّا الاِعْتِرَاضُ عَلَيْهِ اَنَّ فِيْمَا ذَكَرَهُ الضَّعِيْفَ بِكَثْرَةٍ فَهُوَ اِعْتِرَاضٌ سَاقِطٌ لِمَا تَقَرَّرَ اَنَّهُ يُعْمَلُ بِهِ فِي الفَضَائِلِ وَكِتَابُهُ فِي الرَّقَائِقِ فَهُوَ مِنْ قَبِيْلِهَا

“Sesungguhnya kebanyakan yang disebutkan al-Ghazali bukanlah hadits palsu, sebagaimana yang ditunjukkan dalam takhrij-nya. Yang tidak banyak, dan itu sangat sedikit, diriwayatkan dari orang lain atau mengikuti orang lain dengan menggunakan shighat pembebasan diri “Diriwayatkan dari…”. Ada pun sanggahan bahawa Ihya’ di dalamnya banyak memuat hadits dha‘if adalah pernyataan yang gugur, kerana, hadits dha‘if pun dapat diamalkan dalam peringkat fadha’il. Dan kitab Ihya’ adalah dalam perbahasan raqaiq (tentang perbaikan jiwa) dan itu termasuk dari fadhilah amal”

6. Menurut sebahagian ulama, hadits dalam Ihya’ semuanya berjumlah 4848 hadits. Jumlah itu didasarkan atas hasil perhitungan Syaikh Mahmud Said Mamduh dalam kitabnya, Is’af al-Mulihhin bi Tartib Ahadits Ihya Ulumiddin. Dan perhitungan tersebut berdasar takhrijnya al-Hafizh al-Iraqi yang berjudul, al-Mughni an Haml al-Atsar. Padahal, dalam Ihya’ masih ada hadits yang yang tidak di takhrij oleh al-Iraqi. Dari itu datang al-Hafizh Ibnu Hajar yang menulis kitab khusus yang berisi takhrij hadits Ihya’ yang tidak ditakhrij oleh gurunya tersebut.

7. Menurut catatan Imam Tajuddin as-Subki dalam Thabaqat asy-Syafi’iyyah al-kubra, ada sekitar 943 hadits dalam Ihya’ yang dianggap olehnya tidak mempunyai sanad. Akan tetapi, jika kita menyemak dalam takhrij-nya al-Hafizh al-Iraqi, diantara hadits yang didakwa oleh Imam Tajuddin as-Subki tidak bersanad tersebut faktanya mempunyai sanad, meski hanya dhaif, bahkan ada yang sampai hasan atau shahih.

8. Oleh sebab itu, apabila kita lihat seseorang ulama besar mengkritik hujjatul Islam Imam Ghazali, haruslah kita sangat berhati-hati kerana boleh jadi ada ulama besar lain yang menjumpai sanad hadith yang dibawakan oleh Imam Ghazali.

9. Berikut adalah contoh bagaimana satu ulama besar yang sekelas Imam As-Subki juga tidak menjumpai sanad namun Ulama besar yang lain seperti al-Hafidz Al-Iraqi menjumpai sanad hadith yang dibawa oleh Imam Ghazali. Contoh Pertama:

Imam Tajuddin as-Subki dalam Thabaqat menyebut hadits dibawah ini tanpa sanad:

مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ وَرَّثَهُ اللهُ عِلْمَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Barang siapa yang mahu mengamalkan ilmunya, maka Allah akan mewariskan ilmu yang ia tidak mempelajarinya (laduni)”

Tetapi al-Hafizh al-Iraqi menyebut hadits dhaif riwayat Abu Nu’aim:

أَبُو نُعَيْمٍ فِي الْحِلْيَةِ مِنْ حَدِيْثِ أَنَسٍ وَضَعَّفَهُ

“Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya dari hadits Anas dan ia mendhaifkannya”

Imam Tajuddin as-Subki memasukkan hadits berikut dalam kategori yang tidak bersanad:

حَدِيْثُ النَّهْيِ عَنِ المُغَالَاةِ فِيْ المَهْرِ

“(Termasuk hadits “La Ashla Lahu”) adalah hadits larangan berlebih-lebihan dalam mahar”

Tetapi al-Hafizh al-Iraqi dalam al-Mughni menilai:

حَدِيْثُ (النَّهْيِ عَنِ المُغَالَاةِ فِيْ المَهْرِ) ( 2 / 41 ) أَصْحَابُ السُّنَنِ الأَرْبَعَةِ مَوْقُوْفاً عَلىَ عُمَرَ وَصَحَّحَهُ التِّرْمِذِيّ

“Hadits larangan berlebih-lebihan dalam mahar (II/14) diriwayatkan oleh pemilik kitab sunan yang empat secara mauquf pada Umar. Dan Tirmidzi menshahihkannya”

10. Uniknya lagi, kemudian muncul al-Hafizh Imam Murtadha az-Zabidi dalam kitabnya Ithaf Al Sadah Al Muttaqin yg disusun oleh Al-Hafiz Al Tijani dalam Nur al-Yaqin fi Takhrij Ahadits Ihya’ Ulumiddin yang meneliti ulang hadits-hadits Ihya’, dan hasilnya pun berbeza dengan al-Iraqi. Artinya, ada hadits yang dinilai lemah oleh al-Iraqi atau bahkan dinilai tidak mempunyai sanad secara marfu’ tetapi ternyata mempunyai sanad dan marfu’.

11. Berikut nukilan dari Dr. Hamzah an-Nasyrati dalam kitabnya yang berjudul Abu Hamid al-Ghazali Hujjatul Islam (hal. 164) tentang beberapa penelitian ulang az-Zabidi terhadap hadits Ihya’. Berikut antara contohnya:

Al-Hafizh al-Iraqi menilai hadits riwayat Abu Hurairah dibawah ini bersanad dhaif:

أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ القِيَامَةِ عَالِمٌ لَمْ يَنْفَعْهُ الله بِعِلْمِهِ

“Manusia yang paling pedih adzabnya adalah orang alim yang ilmunya tidak diberi manfaat oleh Allah” (HR. Thabarani dan Baihaqi)

Al-Iraqi dan juga ulama-ulama hadits banyak yang menilai hadits tersebut lemah. Tetapi al-Hafizh Murtadha az-Zabidi menilainya berbeza. Menurutnya, meskipun benar hadits tersebut dhaif tetapi mempunyai penguat. Kemudian az-Zabidi mengajukan riwayat lain dari Khathib al-Baghdadi dalam kitab Iqtidha’ al-Ilm wal Amal, bahawa ucapan seperti juga diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dari jalur Abu Kabsyah as-Sululi yang mendengar dari Abu Darda’, juga riwayat dari jalur Ibrahim bin al-Asy’asy dari Sufyan.

12. Jika kita terjun ke perbahasan lebih dalam lagi,hadits tentang shalat Raghaib dan shalat Nishfu Sya’ban dalam Ihya’ yang haditsnya banyak dikritik ulama sebagai hadits palsu, ternyata tidak semua ulama menyepakati kepalsuannya.

Sayyid Alawi as-Saqqaf dalam Tarsyih al-Mustafidin (hal. 101) menukil ucapan al-Jarhazi berikut:

حَدِيْثُهُمَا لَهُ طُرُقٌ كَثِيْرَةٌ أَخْرَجَهُا البَيْهَقِيّ وَغَيْرُهُ وَمِنْ ثَمَّ قَالَ المُلاَّ عَلِيّ القَارِي اِنَّ حَدِيْثُهُمَا يُعْمَلُ بِهِ فِيْ الفَضَائِلِ وَالمُنْكِرُونَ لَهَا اِنَّمَا هُوَ لِمَا يَقْتَرِنُ بِهَا مِنَ المَفَاسِدِ لاَ لِذَاتِهَا

“Hadits tentang shalat alfiyah (nishfu Sya’ban) dan shalat raghaib mempunyai banyak jalur riwayat yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan yang lain. Oleh kerana itu, Mulla Ali boleh diamalkan dalam peringkat fadhail amal. Sedangkan ulama-ulama yang ingkar terhadap kedua shalat tersebut, sebenarnya bukan ingkar terhadap praktik shalatnya, tetapi kerana mafsadah yang dapat ditimbulkan oleh kedua shalat tersebut”.

13. Malah, jika pengkaji hadith mengkaji secara mendalam lagi tentang perbahasan-perbahasan ulama hadith tentang ihya’ akan ada kenyataan tentang shalat sunat harian yang disampaikan al-Ghazali dalam Ihya’. Hadits tentang itu dinilai palsu oleh al-Hafizh Ibnul Jauzi dalam al-Maudhu’at dan disepakati oleh al-Hafizh as-Suyuthi dalam al-La’ali’ al-Mashnu’ah. Akan tetapi al-Hafizh az-Zabidi dalam Ittihaf as-Sadah al-Muttaqin (III/373), setelah menyampaikan pendapat dua hafizh tersebut, berkata:

الحُكْمُ عَلَى هَذَا الحَدِيْثِ بِالوَضْعِ لَيْسَ بِسَدِيْدٍ وَغَايَةُ مَا يُقَالُ اِنَّهُ ضَعِيْفٌ

“Menghukumi hadits ini dengan palsu tidaklah benar. Paling maksimum yang dapat dikatakan adalah haditsnya dhaif”

14. Disarankan agar point nombor 5 hingga 11 dan selepas itu fikirkan secara jujur apakah patut isu seperti ini dilemparkan ditengah masyarakat awam?

15. Akan tetapi, mereka ini amat beradab apabila berhadapan dengan tokoh-tokoh ulama rujukan mereka contohnya seperti Ibn Qayyim. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, Ighatsah al-Lahfan, selain memasukkan hadits-hadits dhaif, juga memasukkan hadits palsu. Minimum ada dua hadits palsu yang dimasukkan, sebagaimana yang ditahqiq oleh Muhammad Afifi. Lihat Ighatsah cetakan al-Maktab al-Islami pada halaman 377 dan 400.

16. Begitu juga dengan karya beliau yang lain seperti Ar-Ruh. Namun ia tidak diserang sebagaimana mereka menyerang kitab Ihya’, Ibnu Uthaymin misalnya mengatakan :

الكتاب فيه مباحث قيمة وجيدة، ومن قرأها عرف أنها من كلام ابن القيم رحمه الله. وفيه هذه القصص التي ذكرها من المنامات عن بعض الأموات فالله أعلم بصحتها، لكن كأنه رحمه الله تهاون في نقلها؛ لأنها ترقق القلب وتوجب للإنسان أن يخاف من عذاب القبر وأن يرغب في نعيم القبر فالقص حسن والله أعلم بصحتها

“ Kitab tersebut (ar-Ruh) terdapat banyak perbahasan yang berharga dan bagus. Barangsiapa yang membacanya, maka ia akan mengetahui bahawa itu termasuk ucapan Ibnul Qayyim rahimahullah. Dan di dalamnya terdapat kisah-kisah yang telah disebutkannya dari mimpi-mimpi dari sebahagian orang mati, maka Allah lebih tahu dengan kebenaran (kisah-kisah) tersebut. Akan tetapi seolah-olah beliau (Ibnul Qayyim) bermudah-mudah dalam menaqalnya, kerana dapat melembutkan hati dan mewajibkan manusia untuk takut dari siksa kubur serta termotivasi dengan kenikmatan dalam kubur, maka kisah itu adalah baik, dan Allah maha Tahu dengan kebenarannya “

 

Disunting dengan izin daripada sumber asal yang sediakan oleh:
Pertubuhan Penyelidikan Ahlussunnah Wal Jamaah
Johor Bahru, Johor (ARG Johor)

 

Be First to Comment

Leave a Reply