Nama “Tasawuf” Tidak Jelas Asalnya?

Q4 . Ada di kalangan yang mempersoalkan nama “tasawuf” tidak jelas artinya dan ada pelbagai riwayat tentang asal usul kalimah “tasawuf”. Bagaimana mungkin kita belajar suatu yang tidak jelas artinya?

  • Abu al-Hasan al-Bushanji (w.348/959) pernah ditanya tentang ilmu tasawuf, dan beliau menjawab  “tasawuf pada hari ini memiliki nama tanpa hakikat, dulu ia hakikat tanpa nama” (التصوف اليوم اسم بلا حقيقة، وقد كان من قبل حقيقة بلا اسم).
  • Imam al-Hujwiri (w.1077) ketika mensyarahkan kalam tersebut berkata: “sesungguhnya nama ini (tasawuf) tidak pernah wujud di zaman Sahabat dan Salafussoleh, tetapi makna (hakikatnya) wujud dalam setiap diri mereka, tetapi hari ini wujud nama tetapi tanpa makna”

ان هذا الاسم لم يكن موجودا وقت الصحابة والسلف، وكان المعنى موجودا في كل منهم
والآن يوجد الاسم، ولا يوجد المعنى

  • Tasawuf ini adalah ilmu yang wujud dan diamalkan di zaman awal Islam tanpa memiliki nama seperti mana juga wujudnya ilmu aqidah, fekah, tafsir tanpa nama-namanya. Kewujudan nama-nama terhadap ilmu-ilmu Islam selari dengan perkembangan dan keperluan semasa apabila ilmu-ilmu tersebut dikembangkan dan diperkemaskan lagi konsepnya.
  • Ibn Khaldun (w.1406M), sejarawan agung Islam,  dalam kitabnya Muqaddimah turut menyebut bahawa ilmu tasawuf ini merupakan salah satu daripada ilmu-ilmu Islam yang baharu yang mengikut jalan asal mereka yang terdahulu secara berterusan daripada kalangan para Sahabah dan Salafussoleh bertujuan agar fokus kepada ibadah dan berterusan mengingati Allah SWT. Seterusnya beliau menyebut…

وهذا العلم – يعني التصوف – من العلوم الشرعية الحادثة في الملة، وأصله أن طريقة هؤلاء القوم لم تزل عن سلف الأمة وكبارها من الصحابة والتابعين ومن بعدهم طريقة الحق والداية وأصلها العكوف على العبادة والانقطاع إلى الله تعالى ، والإعراض عن زخرف الدنيا وزينتها، والزهد في ما يقبل عليه الجمهور من لذة مال وجاه والانفراد عن الخلق والخلوة للعبادة وكان ذلك عاما في الصحابة والسلف: فلما فشا الإقبال على الدنيا في القرن الثاني وما بعده وجنح الناس إلى مخالطة الدنيا اختص المقبلون على العبادة باسم الصوفية والمتصوفة).

  • Walaupun amat mustahak mengetahui sejarah asal usul kalimah “tasawuf” itu, yang akan kita jelaskan dalam makalah yang akan datang insya Allah kenapa ia dinamakan tasawuf, namun yang lebih utama lagi ialah mengetahui kandungan, makna dan konsep sebenar ilmu tersebut. Sekiranya ia tidak bercanggah dengan Islam, maka ia boleh dipelajari dan dihayati. Ada sesetengah ilmu yang tidak pun kita ketahui sejarah asal usul nama ilmu tersebut. Ada juga disiplin ilmu yang memiliki banyak nama misalnya, ilmu aqidah juga dikenali dengan “ilmu tauhid” , “ilmu Usuluddin”, ilmu Kalam, dan “ilmu Sifat 20” namun ia membawa makna yang sama dan tujuan yang sama, dan inilah yang lebih penting lagi dan bukan diperbesar atau diperdebatkan isu asal-usul nama tersebut kerana tindakan memberi nama sesuatu ilmu itu muncul hanyalah di kemudian hari bagi membezakan antara satu disiplin ilmu dengan ilmu yang lain. Di awal Islam dahulu, semuanya terangkum dalam ajaran Islam tanpa ada pecahan-pecahan disiplin ilmu yang khusus setiap satu seperti hari ini.
  • Misalnya, di awal Islam dahulu istilah “fiqh” merujuk kepada seorang yang menguasai ilmu Islam secara menyeluruh seperti mana doa yang dibacakan oleh Bagindaﷺ  kepada Abdullah ibn Abbas RA: “Ya Allah! Kau faqihkanlahnya (Ibn Abbas) dalam agama, dan ajarkannya takwil”.  (( وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ : اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ )). Namun, hari ini istilah “fiqh” atau “fekah”  menjadi lebih khusus merujuk kepada perkara yang bersifat ibadat atau amalan dalam hal Syariat. Namun ruang lingkup kajian fiqh pada hari ini semakin berkembang dan munculnya pelbagai disiplin baharu yang berpaksikan fiqh seperti “fiqh muamalat”, “fiqh jinayat”  fiqh awlawiyat”, “fiqh ta’amul” , ‘fiqh bi’ah” dan lain-lain selari dengan perkembangan semasa yang memerlukannya.
Kemaskini: 24 September 2017
 #100Q&ATasawuf

Be First to Comment

Leave a Reply