Pengenalan Amalan Kerohanian

Q. Apa pentingnya amalan kerohanian?

A. Seperti yang kita tegaskan sebelum ini, orang yang sembahyang walaupun semua rukun fi’li dan qaulinya sah, namun jika hatinya lalai dan tidak khusyuk dari mengingati Allah maka sembahyangnya tidak memberi apa-apa makna. Bukan sahaja tidak mendapat pahala, tetapi dicela sepertimana firman Allah Ta’ala yang mafhumnya “Maka celakalah (Neraka Wail) bagi orang yang sembahyang, iaitu orang-orang yang lalai dalam sembahyangnya, orang-orang yang berbuat riya” (Al-Maa’un 4-6). Begitu juga bagi mereka yang bersedekah, tetapi jika tidak ikhlas tetapi sebaliknya riak, maka kecelakaan juga bagi mereka yang sedemikian. Apa yang nyata dari kita persoalan khusyuk, ikhlas, taubat, sabar, tawakal, qanaah, syukur, yaqin, malu, warak, tawaduk, takut, harap dan lain-lain bukan amalan fizikal tetapi amalan hati, atau disebut amalan kerohanian kerana ianya berkait rapat dengan kedudukan roh samada bersih atau kotor. Roh yang bersih akan memiliki sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang kita sebutkan sebentar tadi, manakal roh yang kotor akan penuh dengan sifat-sifat terkeji (mazmumah) seperti  suka menunjuk-nunjuk (riyak), suka dipuji (sum’ah), bangga diri (ujub), sombong takabbur, pemarah, tamak haloba, hasad dengki, dan lain-lain. Amalan yang diterima oleh Allah SWT hanyalah amalan yang ikhlas dibuat semata keranaNya. Adapun amalan yang dicemari dengan niat-niat lain, maka ianya tertolak. Mendalami dan mengamalkan ilmu tasawuf ini merupakan salah satu dari fardhu ain terhadap seluruh umat Islam yang seringkali diabaikan oleh ramai manusia hari ini walaupun mereka mendirikan solat, menunaikan haji, berzakat dan seumpamanya..  Lantaran itulah Imam Abu’l Hassan al-Shadhili mengingatkan betapa bahayanya orang yang memberi perhatian kepada amalan zahir semata, dengan meninggalkan aspek kerohanian amalan tersebut dengan ungkapan beliau: “Sesiapa yang tidak menyibukkan dirinya dengan ilmu tasawuf ini, dikhuatiri beliau akan mati dalam dosa besar sedangkan beliau tidan menyedarinya  (Man lam yataghalghal fi `ilmina hadha ma-ata musirran `ala al-kaba´iri wa huwa la yash`ur)

Q. Sunnah Nabi SAW mengikut amalan zahir sahajakah?

A. Bagi masyarakat awam, mereka melihat Sunnah Nabi SAW itu kepada definisi biasa iaitu kata-kata, amalan dan ikrar Baginda SAW. Tidak salah dengan takrifan ini, cuma bagi para ulama tasawuf, mereka turut memasukkan keadaan kerohanian (hal) Baginda SAW sebagai sebahagian dari Sunnah Nabi SAW yang mesti kita cuba mencapainya sebaik mungkin. Sememangnya tiada manusia yang boleh menandingi kekhusyukan Nabi SAW mendirikan Solat sehingga bengkak-bengkak kaki Baginda SAW, sehingga diumpamakan burung pun boleh bertenggek di atas badan Baginda SAW ketika Baginda solat bagi menunjukkan lamanya Baginda SAW berdiri dan khusyuknya sehingga tidak menggerakkan badannya. Namun itu tidaklah bermakna kita tidak perlu bermujahadah untuk khusyuk dalam Solat, cuba untuk ikhlas sebaik mungkin dalam apa jua amalan yang kita lakukan.

Q. Tasawuf itu Ikhlas?

A.   Ya, tasawuf itu pada asasnya adalah Ihsan yang diambil dari mafhum hadith Jibril a.s. yang menyebut tentang Ihsan di mana Baginda SAW bersabda mafhumnya “ Kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya, jika kamu tidak mampu melihatnya maka yakinlah Dia melihatmu”. Apabila seseorang mampu merasakan Allah itu memerhati kita, sudah tentu amalan kita juga terbaik kerana malu kepada Pencipta yang sedang melihat kita. Dalam keadaan sedemikian, sudah pasti amalan kita juga terbaik dan amalan yang terbaik dalam Islam disebut  amalan yang ikhlas. Oleh  kerana itu para ulama tasawuf seringkali memberi perhatian dan penekanan terhadap niat, fikiran, hati dan kesedaran agar menjurus bulat dan mutlak kepada Allah, KebesaranNya, KehebatanNya, dan kesyukuran kepadaNya semata-mata — bukan kepada anugerah ketuhanan yang diberikanNya untuk amalan sedemikian, atau matlamat peribadi yang lain. Allah Maha Agung berfirman mafhumnya. Ini bersesuaian dengan mafhum Firman Allah Ta’ala: “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan TuhanNya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan seseorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya” (Al-Kahfi:110).

Q. Apa itu Ikhlas?

A. Ikhlas itu ialah melakukan sesuatu amalan bulat semata-mata kerana Allah Ta’ala tanpa dicampuri dengan niat lain. Sebab itulah adalah tidak sesuai bagi amalan-amalan kerohanian dalam jalan keikhlasan ini mementingkan kepentingan diri, samada duniawi atau ukhrawi. Sesetengah ‘ulama’ seperti Imam Ghazali dalam Minhajul Abidin berpegang bahawa mencari sesuatu selain dari ganjaran terhadap amalan berkenaan hanya akan membatalkan segala nilaiannya di sisi Allah.

Ikhlas  sepenuhnya mungkin tidak mampu dicapai oleh kebanyakan orang dalam sekelip mata kerana kebiasaannya niat kita akan bercampur-baur, ada untuk kepentingan diri dan ada juga untuk mencari redha Allah. Allah amat murka apabila hambaNya  berkongsi dengan selain darinya atau “syirik” kepadaNya dalam mengerjakan sesuatu amalan. Namun usaha perlu dilakukan agar hanya kerana Allah sahaja yang dicari dalam setiap amalan, gerak geri dan hembusan nafas sekali pun. Kesukaran kita mendapatkan ikhlas antara lain kerana suasana kehidupan kita hari ini yang penuh kebendaan,  materialistik sehingga merosakkan jiwa dan roh kita. Roh kita  hari ini  sebenarnya “sakit” kerana kita tenggelam dalam kerakusan duniawi dan untuk memulihkannya perlu kepada perjuangan berterusan. Untuk mencapai ikhlas, kita perlu rawat roh  yang sakit  ini dan lakukannya secara berperingkat-peringkat seumpama seorang yang sakit lama terbaring tak bergerak dan kemudiaanya mula menggunakan kembali otot-ototnya yang lama tidak digunakan, dengan berlatih berjalan sedikit demi sedikit semakin jauh setiap hari sehinggalah kemudiannya mampu berjalan sejauh mana yang ia kehendaki. Maka begitulah juga ikhlas yang perlu kepada latihan yang lama untuk mencapainya.

Ada juga di kalangan masyarakat yang melakukan amalan beribadat kerana kebiasaaan, secara automatik, tanpa ada sebarang niat dalam hati mereka. Ini banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana kebiasaan seharian masyarakat dan budaya setempat sehingga menjadikan kita lupa matlamat kita beramala itu sebenarnya mencari redha Allah.  Mereka yang melakukan amalan kerana kebiasaan sebenarnya tidak menyembah Allah dan tidak juga menyembah selain Allah, dan mereka ini tidak akan memperolehi apa-apa selain menghabiskan masa begitu sahaja.

Wallahu’alam.

***

 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *