Apakah Ilmu Tasawuf?

Q1 Apakah ilmu tasawuf?

A Ilmu tasawuf ialah ilmu mengenal Allah selari dengan prinsip “ihsan” yang dinyatakan dalam Hadis Jibril AS  yang merujuk kepada: “sembahlah Allah seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak mampu melihat Allah, ketahuilah Allah melihatmu”. Syeikh Ahmad Zarruq mengatakan bahawa ada sekitar dua ribu definisi tentang tasawuf namun semuanya berkisar “sidqu tawajjuh” iaitu ikhlas. Cendikiawan ulung dunia, YM Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas merumuskan dengan cantik takrif tasawuf  katanya:  “tasawuf itu ialah beramal dengan syariat pada maqam ihsan”.

Q2 Siapakah pengasas ilmu tasawuf?

A Ilmu tasawuf bukan diasaskan oleh sesiapa tetapi dibawa sendiri oleh Junjungan Mulia Baginda SAW melalui penghayatan ajaran Islam secara menyeluruh dalam hidup Baginda SAW, bukan sahaja daripada aspek zahir tetapi turut merangkumi batin dan aspek batin inilah tumpuan utama tasawuf.

Q3 Sejarah ilmu tasawuf?

A Di awal kurun yang pertama Islam, para Sahabat tidak memerlukan ilmu tasawuf sepertimana mereka tidak memerlukan kepada ilmu tafsir, ilmu aqidah, ilmu tajwid kerana pada masa itu Baginda SAW masih hidup dan sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada Baginda SAW. Pada kurun-kurun awal Islam, para Sahabat, para Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in masih terdiri di kalangan orang yang warak, bertaqwa dan kuat bermujadah. Tabiat hidup mereka masih lagi ingin berlumba-lumba mencontohi jejak langkah Baginda SAW dalam setiap aspek kehidupan. Namun apabila berlalu beberapa kurun, dan empayar Islam semakin luas dan dan kemewahan duniawi semakin menguasai kehidupan umat Islam, sedikit demi sedikit umat Islam menjadi semakin leka dan lalai daripada ajaran Islam yang sebenar dan mula mencintai dunia. Tabiat dan mujahadah yang tinggi ingin mencontohi Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan semakin luntur. Maka timbullah gerakan untuk menyuburkan kembali kecintaan kepada Akhirat dan mengambil dunia sekadar keperluan sahaja, atau apa yang dipanggil  sikap “zuhud” terhadap dunia.

#100qnatasawwuf

Be First to Comment

Leave a Reply