Bacaan Berkualiti Suburkan Akal

NRAS_BH21042017 copy[Artikel ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian 21 April 2017 dengan suntingan oleh pihak editor

Dalam rancangan Suluh Budi yang disampaikan oleh Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Pengarah Pusat Kajian Syariah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada hari Rabu jam 5.15 petang di radio IKIMfm, beliau membicarakan berhubung dengan “Membina Sikap Hikmah dan Kebijaksanaan”.  Beliau menegaskan tiga perkara yang sewajarnya dipelihara oleh setiap manusia jika ingin menjadi orang yang berhikmah dan bijaksana iaitu akal, syahwat dan sifat marah.  Jika ketiga-tiga dimensi ini berjaya dikawal maka akan lahirlah individu yang adil. Sifat-sifat akhlakiah ini memerlukan keseimbangan dan setiap dimensi atau unsur itu perlu diletakkan pada tempatnya.

Hikmah terbit daripada kekuatan akal maka untuk menyuburkan kekuatan akal maka ia hendaklah dipelihara dengan baik. Untuk memelihara akal maka pertama sekali kita perlu membuka banyak ruang kepada akal untuk berfikir dengan memberi bahan-bahan yang betul untuk akal itu berfikir dan menjadi aktif. Antara bahan-bahan mentah untuk menyuburkan akal ialah melalui “pembacaan” kerana dengan membaca kita akam mampu mengaktifkan dan menyuburkan kekuatan akal dan kerana itu tidak dapat tidak kita perlu membaca. Cuma persoalannya, apakah benda yang kita baca itu?, adakah sekadar membaca whatsapp, facebook, suratkhabar, majalah hiburan atau membaca bahan-bahan berkualiti  dan serius yang membina akal fikiran?.  Hari kini kebanyakan masyarakat kita gemar membaca tetapi membaca bahan yang tidak berkualiti, atau membaca bahan yang tidak serius yang tidak menyuburkan akal dan merancakkan pemikiran kita.

Kita gemar membaca berita-berita hiburan, kisah-kisah artis, gosip-gosip dan khabar angin, daripada memberi tumpuan masa membaca bahan ilmiah. Waktu membaca juga tidak dikhususkan dan kerapkali membaca santai atau sambil berbaring untuk tidur, tidak sesuai untuk pembacaan bahan-bahan berat dan ilmiah. Masyarakat yang banyak membaca tetapi membaca bahan-bahan picisan, remeh-temeh ini tidak akan mampu menjadi masyarakat yang berjaya dan bertamadun kerana ia bukan pembacaan yang membina akal dan hati budi umat yang akhirnya mengubah nasib dan mewujudkan jati diri bangsa. Kita harus insaf dan sedar bahawa kehidupan kita di dunia ini bukan untuk berhibur atau berleka-leka dengan perkara yang tidak serius dan bermanfaat tetapi sebaliknya hidup ini amat serius dan usia kita itu merupakan satu modal perniagaan untuk kita. Kehidupan kita di dunia ini merupakan kehidupan yang serius seperti mana peringatan yang diberikan oleh Allah SWT “adakah kamu mengira kami menciptakan kamu itu sia-sia”. Kita dikejutkan dengan statistik pada tahun 1997 yang menunjukkan purata rakyat Malaysia membaca hanya sehelai muka surat buku dalam tempoh setahun. Pada tahun 2002 pula, statistik itu dikatakan ‘meningkat’ sedikit kepada dua muka surat setahun. Manakala kajian profil membaca pada tahun 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati bahawa kalangan rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Namun, purata dua naskhah buku yang dibaca dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar. Statistik ini jelas menunjukkan dalam tempoh 1996 – 2005, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap kecenderungan membaca dan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pembacaan ini perlu dididik dan dipandu dan bukan sekadar memadai “pandai membaca” sahaja seperti yang kita sering banggakan kepada “anak-anak” yang sudah mula pandai membaca, tetapi bagi orang dewasa apa yang dibacakan itu lebih penting daripada sekadar membaca. Amat penting agar pembacaan yang serius itu menjadi suatu budaya dalam hidup kita dan masyarakat kita. Selain membaca, aspek yang kedua yang perlu ditekankan bagi menyuburkan akal ialah memperbanyakkan berinteraksi atau bertukar pandangan dengan orang lain. Melalui pertukaran pandangan atau berbahas (mujadalah) itu ia menyegarkan pemikiran dan menjadikan aktif kepada akal itu sendiri. Kita jangan menjadi manusia yang menerima seadanya atau bersifat pasif dan dogmatis tanpa kita mempersoalkan dan mengkajinya secara mendalam hingga ke puncanya  atau akar umbinya dan memahami sesuatu hal itu sebetul-betulnya.  Inilah latihan bagi akal untuk memerah otak memikirkan sedalam-dalamnya dan dengan cara itu akal kita akan menjadi semakin kuat dan aktif. Aspek seterusnya ialah membentuk “cara berfikir” yang betul. Pada hari ini kita tidak lagi diajar cara berfikir yang betul. Di zaman silam, di madarasah-madrasah Islam dahulukala, matapelajaran “mantiq” diajar. Dalam matapelajaran ini kita diajar tentang dua hal iaitu “konsep” (tasawur) dan “penilaian” (tasdiq) kita terhadap sesuatu hal. Hari ini masyarakat kita tidak memahami sesuatu konsep dengan betul dan juga gagal menilai dengan baik dan tepat terhadap hal tersebut akibatnya masyarakat menjadi harubiru, keliru dan celaru.

Untuk membina kebijaksanaan dan hikmah seseorang, kita perlu memupuk cara berfikir yang betul. Permulaan ilmu itu ialah dengan menjawab soalan “apa” (what) terlebih dahulu, soalan yang akan kemudian akan menjawab dan memberikan takrif atau definisi sesuatu itu. Kedua, dia hendaklah mempunyai kemampuan untuk menilai dengan betul.