KENALI JAHILIYYAH DEMI MENJAGA ISLAM

Di antara punca dan sebab kenapa umat Islam terpengaruh dengan faham-faham yang asing daripada ajaran Islam ialah kerana kejahilan umat Islam sendiri dalam mengenali apakah ajaran-ajaran yang batil. Kata-kata Sayyidina Umar al-Khattab RA amat tepat sekali apabila beliau mengungkapkan:

1 إنما تُنقَضُ عُرى الإسلام عروة عروة  إذا نشأ في الإسلام من لم يعرف الجاهلية

“Sesungguhnya Islam itu akan terlerai apabila muncul di kalangan umat Islam itu orang-orang yang hidup dalam Islam tanpa mengetahui apa itu jahiliyyah”.

Jahiliyyah merujuk kepada zaman sebelum kedatangan Islam, namun jahiliyyah wujud sepanjang zaman kerana ia merujuk kepada kebathilan. Dalam al-Qur’an bukan sahaja menjelaskan tentang kebenaran, tetapi juga tentang kebathilan.

Antara faham yang semakin kuat merebak dewasa ini ialah faham liberalisma. Liberalisma ini bermula di Barat bertitik tolak daripada gerakan anti agama besar-besaran seawal kurun ke 17 yang menolak agama dan institusi-institusi agama dengan alasan agama itu mengongkong manusia.  Pemuka-pemuka Barat yang menentang beragama ini antaranya ialah seperti David Hume, John Stuart Mill, Volataire  dan ramai lagi hingga ke hari ini seperti Richard Dawkins, Stephen Hawkings termasuklah mereka yang langsung tidak percaya kepada tuhan atau digelar ateis. Kita perlu fahami kenapa perkara sebegini berlaku. Ianya kerana di Barat pada ketika ini mereka berada dalam era kegelapan pada sekitar abad ke-5 hingga ke-14 di mana agama menguasai umat manusia. Mereka merasakan agama telah membelenggu. Belenggu yang paling besar yang mereka tentang ialah kelompok agamawan di kalangan mereka yang bersekongkol dengan raja-raja yang zalim dan kuku besi pada ketika itu hingga menyebabkan kezaliman terhadap rakyat berleluasa dengan sokongan pihak agamawan mereka pada ketika itu.  Inilah kesilapan agamawan Barat hingga menyebabkan timbulnya gerakan menentang pihak agamawan oleh masyarakat kerana dilihat pihak agamawan bersekongkol dengan pemerintah yang zalim dan agama itu sebagai penyebab kepada persengketaan. Lalu imej agama itu menjadi buruk kerana dilihat sebagai penyebab kepada kezaliman, dan kuku besi.

Apa yang berlaku dalam dunia Islam amat berbeza. Sejarah membuktikan bahawa kedatangan Islam di mana-mana sahaja akan membebaskan manusia daripada kemunduran kepada kemajuan. Ia amat berbeza dengan apa yang berlaku di Barat. Di mana-mana Islam datang, Islam membawa kemajuan sepertimana yang berlaku di Jazirah Arab. Apabila kemunculan Islam bangsa Arab yang dulunya bangsa yang saling bunuh-membunuh telah menjadi masyarakat yang mampu hidup harmoni dan aman damai walaupun daripada kelompok kabilah yang pelbagai. Bahkan kedatangan Islam telah menggalakkan umat Islam untuk menerokai ilmu-ilmu sains sehingga lahirlah ramai para saintis Islam di zaman kegemilangan Islam sehingga terbinanya peradaban dan tamadun Islam.

Namun masyarakat Barat melihat agama itu semua sama sahaja iaitu sebagai bentuk pengongkongan daripada kemajuan kerana mereka melihat berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Agama, di sisi masyarakat Barat,  apabila dibawa dalam ruang masyarakat maka ia akan membawa kepada kemunduran. Lalu mereka mendesak agama hanya untuk amalan individu dan persendirian sahaja tanpa melibatkan masyarakat mahupun negara. Lalu agama dan pemerintahan dipisahkan dan inilah titik mula gerakan yang dipanggil “sekularisme”  yang memisahkan agama daripada kehidupan bermasyarakat dan pemerintahan dengan meletakkan agama hanya untuk amalan persendirian sahaja.

Kalau dalam agama sangat besar peranannya dalam pemerintahan, namun bagi masyarakat Barat, agama perlu tunduk kepada humanisma-sekular dan rasionalisme-sekular,  di mana akal diagungkan mengatasi agama. Bagi mereka agama tidak sesuai dengan tamadun dan perkembangan sains dan teknologi. Sedangkan Islam, tidak sama sekali menindas ilmu sains dan jika ada yang menindas itu bukan daripada ajaran Islam tetapi daripada salahfaham umat Islam dalam melaksanakan ajaran-ajaran Islam tersebut. Umat Islam sedikit demi sedikit mula terpengaruh dengan gerakan sekularisme Barat ini apabila cerdik pandai Barat yang mengkaji Islam yang digelar “orientalis” Barat mula menerapkan faham dan pengalaman mereka ke dalam agama Islam. Ianya lebih ketara apabila ramai umat Islam mula melanjutkan pelajaran di Barat dan menuntut di bawah bimbingan para orientalis Barat ini lalu membawa pulang fahaman menyeleweng ini ke tanahair. Jika dulu, di kalangan masyarakat Barat, perbuatan hubungan sejenis atau homoseksual merupakan suatu tabiat di luar tabie bahkan dikategorikan sebagai penyakit mental, namun kini sedikit demi sedikit mereka mula menerimanya sebagai sebahagian daripada hak dan kebebasan manusia walaupun ianya bercanggah dengan ajaran agama mereka sendiri. Inilah pesanan Baginda SAW agar kita jangan meniru dan mengikut perbuatan golongan Kristian dan Yahudi ini sepertimana Sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA yang berbunyi:

  لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ سَلَكُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُود وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ

“Nescaya kamu akan mengikuti jejak langkah kaum sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta hingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kamu akan ikut serta. Lalu kami bertanya: siapakah mereka itu wahai Rasulullah SAW, Yahudi dan Nasrani kah? Lalu Baginda SAW menjawab: siapa lagi?” [Bukhari]

Justeru itu, umat Islam sewajarnya tidak terpengaruh dengan gerakan liberalisma ini memandangkan Islam bukan punca kemunduran umat ini.

[Rencana ini merupakan suntingan bebas daripada program Tarbiyyah yang bersiaran di radio IKIMfm yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr Khalif Muammar A.Harris dan kemudiannya disiarkan  dalam ruang agama akhbar Berita Harian bertarikh 23 September 2016. Segala kesilapan adalah kelemahan penyunting]