Islam Itu Agama Rahmat

[Rencana di bawah ini telah telah disunting untuk siaran dalam akhbar Berita Harian bertarikh 17 Mac 2017 dengan tajuk “Sifat Rahmah Penuhi Hak Semua Makhluk”]

NRAS_BH17032017Sheikh Dr. Umar Faruq Abd-Allah, seorang tokoh ilmuwan dari Yayasan Imam Nawawi, Chicago Amerika Syarikat ketika bersiaran dalam rancangan Topik Jumaat di radio IKIMfm telah bercakap tentang “Islam itu Agama Rahmat dan Berakhlak Baik”.  Beliau berada di Malaysia dalam rangka menyertai program “Reviving the Islamic Tradition” anjuran YADIM dan Al-Naqiy Solutions yang diadakan pada 4-5 Mac 2017 yang telah dihadiri oleh lebih 3000 orang peserta. Beliau menjelaskan bahawa perkataan “rahmah” yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “mercy” seringkali sekadar membawa makna “kemaafan”, sedangkan “rahmah” itu bukan sekadar kemaafan tetapi lebih daripada itu. Rahmah bermaksud memberikan setiap sesuatu apa yang mereka berhak mendapatkannya samada terhadap manusia, haiwan dan sekalian makhluknya.

Allah SWT memberikan manusia di bumi, ikan di laut dan singa di hutan apa yang perlu bagi mereka untuk hidup di bumi, dalam lautan dan di hutan belantara, berdasarkan rahmatNya”.

Dalam sebuah perkahwinan  yang sempurna di sana ada “mawaddah” dan “rahmah” di mana  mawaddah membawa maksud “kasih sayang melindungi” sepertimana kasih sayang seorang ibu yang ingin melindungi anaknya, manakala rahmah pula membawa maksud pasangan itu bersedia memberi kemaafan kepada pasangannya atas segala kelemahan dan kekurangan yang dimiliki, dan dalam masa yang sama bersedia untuk memberikan apa sahaja bagi menyempurna dan melengkapkan kesempurnaan pasangannya menjadi seratus peratus. Rahmah ialah sifat Allah SWT sebagai Sang Pencipta yang dianugerahkan kepada makhluk untuk menjadi apa yang sepatutnya mereka berfungsi.

Adapun apabila kita bercakap tentang “kasih sayang”, ia membawa maksud yang pelbagai dan mempunyai banyak jenis antaranya “mawaddah”. Mawaddah dalam sebuah perkahwinan misalnya adalah salah satu bentuk kasih sayang yang bukan semata menzahirkan cinta antara dua insan, tetapi juga mengambil berat akan kebajikan pasangannya. Sebagai contoh, jika isteri mendapati suaminya seorang yang menghisap rokok, maka mawaddah menuntut isteri agar menasihati suaminya berhenti merokok kerana ia memudaratkan kesihatan pasangannya. Mawaddah bagi seorang doktor  ialah dia akan bertungkus lumus memastikan pesakitnya mendapat rawatan yang terbaik dan cuba menyembuhkan penyakitnya. Mawaddah bagi ibubapa pula ialah mereka berjaga malam, bangun di dinihari bagi memberikan susu dan keperluan untuk anak kecilnya yang menangis, menukar lampinnya dan lain-lain. Mawaddah ini adalah bentuk kasih sayang yang bersifat praktikal. Jenis kasih sayang yang seterusnya ialah “mahabbah”. Mahabbah pula membawa maksud kebersamaan sepertimana biji dan isi yang bersama bagi sebuah buah.  Mahabbah juga dikira tingkatan tertinggi bagi jalan kerohanian iaitu “cinta kepada Allah” di mana ia akan muncul setelah seseorang itu melalui proses yang lama diuji dengan pelbagai ujian dan proses penyucian rohani sehingga mencapai marifah atau ilmu mengenai  Allah.  Dr Umar turut mengungkapkan pesanan Sultan al-Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang mengungkapkan agar “jangan kamu lari daripada musibah kerana ia mengandung kebaikan yang banyak”. Benar kata-kata ini kerana jika diimbau betapa Baginda SAW sendiri diuji sejak daripada kecil lagi. Baginda SAW kematian ayahanda dan bondanya sejak kecil lagi. Kemudiaan datuknya meninggal, bapa saudaranya dan begitu juga isterinya tercinta Sayyidatina Khadijah RA ketika beliau sedang bertungkus lumus memperjuangkan Islam. Baginda SAW terus menerus diuji oleh Allah SWT dalam setiap saat kehidupan Baginda SAW termasuk cubaan dibunuh, peperangan dan lain-lain. Namun ujian dan musibah yang menimpa Baginda SAW itu telah mendidik, mematangkan Baginda SAW sehingga Baginda SAW menjadi utusan Allah atau Rasulullah  yang ulung dan hebat.

DSC_2035Apabila seseorang itu kenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, maka sudah pasti dia akan mencintai Allah SWT kerana mana mungkin orang yang kenal Allah SWT tidak mencintai Allah.  Kecintaan itulah dinamakan Mahabbah. Kalimah seterusnya ialah “salam” pula membawa maksud kesempurnaan, keberadaan dalam keadaan aman dan selamat. Salah satu nama Syurga dinamakan “Al-Salam” kerana segalanya dalam syurga adalah sempurna. Cuma apabila kita bercakap tentang “aman” ia bukan sekadar berlawanan dengan “peperangan” atau huru hara, tetapi ia lebih luas daripada itu. Salah satu nama Allah SWT juga “al-Salam” yang selain membawa maksud selamat,  ia juga membawa maksud kesempurnaan dalam serba serbi tanpa sebarang cacat cela. Allah SWT lah yang memberi keamanan, keselamatan dan kedamaian kepada sekalian makhluknya.

Dr Umar turut mengingatkan bahawa tempat manusia yang sebenarnya adalah Syurga dan sekalian taman-tamannya. Adapun dunia ini, ia merupakan syurga atau taman-taman bagi haiwan yang melata dan sepatutnya manusia tidak berbuat sesuka hati di atas mukabumi hingga mencabuli kedamaian dan keharmonian haiwan-haiwan. Lantaran itulah dalam buku-buku fekah Islam ada menyebut tentang bagaimana sepatutnya berinteraksi dengan makluk-makluk lain agar hak-hak mereka turut dipelihara. Islam terlebih dahulu menjuarai “animal rights” atau  pejuang alam sekitar mendahului masyarakat Barat.




Islam Tidak Memusuhi Amalan Tempatan Yang Baik

[Rencana ini telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 10 Mac 2017 dengan tajuk “Ijtihad ikut realiti setempat]

17191356_10212581641525561_8829788507727972186_n
Seorang tokoh sarjana Amerika Syarikat yang tidak asing lagi yang juga pengasas Kolej Pengajian Tinggi Zaytuna California Amerika Syarikat, Sheikh Hamzah Yusuf Hanson telah menyebut betapa ajaran Islam ini harus difahami secara komprehensif dan bukannya picisan. Beliau turut menegaskan betapa ajaran Islam ini ajaran yang mempertahankan budaya setempat dan tidak memusnahkannya selagi mana budaya setempat tersebut tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan penggulungan dalam program “Reviving the Islamic Spirit” yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia melalui Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), dan Al-Naqiy Solutions. Radio IKIMfm bertindak sebagai radio rasmi program dua hari ini yang diadakan pada 4-5 Mac 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).  Program tersebut telah dihadiri oleh seramai lebih 3,000 orang peserta daripada dalam dan luar negara dengan syarahan daripada seramai 12 orang penceramah terkemuka dunia. Turut hadir YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, Timbalannya, YB Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Beliau seterusnya menyambung, ketika pendakwah dari Hadramawt Yaman sampai ke Nusantara ini sekitar kurun ke-12 Masehi lalu untuk menyebarkan ajaran Islam, mereka tidak pernah membawa budaya Yaman untuk diterapkan di Tanah Melayu. Masjid-masjid di sini dibina mengikut suasana tempatan dengan mengambil kira cuaca dan iklim Nusantara  tanpa dibawa senibina Yaman ke sini. Ketika pendakwah Islam Syria masuk ke Andalusia (kini Sepanyol), masjid-masjid di sana tidak dibina sepertimana senibina masjid-masjid di Syria, tetapi sebaliknya mengambilkira budaya masyarakat Andalusia dan dibina sepertimana seakan-akan rekabentuk gereja, kerana itulah suasana dan budaya masyarakat di situ. Apabila Islam masuk ke China, perkara yang sama berlaku tanpa ada usaha daripada para pendakwah pada ketika itu untuk memusnahkan budaya setempat dan menggantikan dengan budaya Timur Tengah atau Arab. Begitu juga ketika Islam bertapak di Turki, senibina Roma terus dikekalkan kerana itulah budaya masyarakat di situ. Itulah indahnya Islam berbanding ajaran agama lain.  Ada sesetengah bangsa yang apabila masuk dan menjajah negara lain, maka akan dimusnahkan sekalian penduduk asalnya seperti mana yang pernah menimpa kaum Red Indian dan kaum-kaum asli di tempat lain. Tetapi berbeza dengan ajaran Islam, apabila ketika mula-mula masuk ke Andalusia (kini Sepanyol), tiada sebuah gereja pun yang dimusnahkan dan hakikat ini diakui sendiri orang para sarjana Kristian Barat yang turut menyokong bahawa tiada bukti empirikal bahawa ada gereja yang dimusnahkan oleh umat Islam. Begitu juga ketika mula-mula Islam masuk ke Mesir, penganut Kristian boleh terus beramal dengan ajaran mereka dan dikatakan bahawa hanya selepas 500 tahun Islam bertapak di Mesir, barulah penganut Islam meningkat kepada 50% daripada keseluruhan penduduk Mesir. Sheikh Dato’ Dr. Afifi al-Akiti,  seorang tokoh ilmuwan Malaysia yang kini menjadi Pensyarah di Universiti Oxford UK pula sebelum itu turut menyebut perkara yang sama betapa ada sesetengah arkitek yang cuba menerap rekabentuk masjid di Timur Tengah yang iklimnya jarang menerima limpahan hujan lalu untuk dibangunkan di sini hingga akhirnya menyebabkan kerap berlaku kebocoran pada bumbung masjid di negara kita kerana rekabentuk yang tidak sesuai dengan iklim tempatan.

Justeru itu, ajaran Islam tidak pernah menganjurkan agar membuang budaya setempat atau menghapuskan amalan masyarakat setempat selagi mana amalan tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang dianjurkan Islam. Sebab itu ada kaedah dalam Usul al-Fiqh yang menyebut Al-Adah Muhakkamah atau “adat (yang baik) itu boleh menjadi dasar menetapkan hukum.”  Para ulama silam memahami benar bahawa faktor realiti keadaan setempat (fiqhul waqi’) perlu diambil kira sebelum sesuatu hukum itu diputuskan. Ada sesetengah hukum yang memerlukan ijtihad para ulama  akan berubah berdasarkan realiti tempat tersebut. Beliau seterusnya memberikan analogi betapa seorang yang mengidap penyakit asma di negara yang beriklim sejuk  disebabkan kelembapan udara tidak sama ubatnya dengan mereka yang mengidap asma di negara yang beriklim panas disebabkan debu, walaupun pada zahirnya menampakkan dua-dua mengidap penyakit asma. Doktor yang bijaksana tidak akan memberi ubat yang sama untuk penyakit yang seolah sama tetapi puncanya yang berbeza kerana hakikatnya dua penyakit tersebut adalah berbeza kerana puncanya berbeza walaupun nampak seolah sama. Oleh kerana itulah, ujar beliau adalah tidak wajar bagi rakyat Malaysia ini mengambil fatwa daripada para ulama Mesir, atau Saudi misalnya dalam hal-hal melanda negara ini, yang tidak memahami dan mengerti realiti masyarakat di negara ini kerana mereka tidak memenuhi salah satu syarat untuk memberi fatwa iaitu mestilah memahami realiti setempat. Para ulama di Malaysia inilah yang lebih mengerti tentang keadaan dan realiti masyarakat di negara ini dan lebih aula dan utama untuk memutuskan hukum yang sesuai dengan keadaan di sini. Beliau turut memuji masyarakat Malaysia yang dapat hidup aman dan damai dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Ianya lambang kebijaksanaan pemerintah dan para ulama dalam mengurus negara ini, dan menjaga sensitiviti setiap agama bagi mengelakkan permusuhan dan perpecahan. Beliau mengingatkan umat Islam Malaysia agar menghormati ijtihad ulama tempatan yang lebih memahami konteks di negara ini.~NRAS.

Sumber: http://roskiman.com