Month: March 2015

Setiap kita dibesarkan dalam suasana berbeda. Begitu juga dengan pendidikan yang kita lalui juga tidak sama antara satu sama lain. Memahami hakikat ini amat penting untuk kita dapat hidup aman damai, bersatu padu tanpa perlu bermusuhan dan bercakaran kerana disebabkan persekitaran kita dibesarkan, dan pendidikan yang kita lalui membuatkan kita mempunyai perspektif yang berbeda apabila menilai dan memberi pandangan terhadap setiap isu yang timbul. Ini benar untuk semua hal dalam kehidupan ini. Ini tidak bermakna kita menyokong faham “relativisima” atau nisbi yang beranggapan bahawa tiada kebenaran mutlak kerana semuanya bersifat relatif.

Al-Qur’an menyebut berhubung dengan perbezaan pendapat ini melalui Surah Hud 118-119, mafhumnya: “Jikalau Tuhanmumu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berikhtilaf (berselisih pendapat). Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menciptakan mereka … .” Para ulama berbeda pandangan berhubung dengan tafsiran ayat ini adakah ia merujuk kepada perselisihan yang dimaksudkan itu dengan wujudnya agama Nasrani, Yahudi dan agama-agama lain di satu pihak dan Islam di satu pihak lain, di mana agama-agama lain itu digolongkan sebagai puak yang berselisih “mukhtalifin” manakala umat Islam termasuk dalam kalangan puak yang dirahmati Allah SWT, atau ia juga merujuk kepada perselisihan umum manusia dalam hal agama. Apapun, realiti yang berlaku hari ini jelas menunjukkan perbezaan pendapat juga wujud di kalangan umat Islam dan jika Allah SWT mahu, Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan umat Islam mempunyai satu pandangan saja.

Umum