Jalan Kerohanian Tuntut Perubahan Total

Q. Apakah Jalan Kerohanian Menuntut Perubahan Total?

A. Ya, benar. Jalan Kerohaniaan adalah jalan menuntut perubahan total dalam kehidupan seharian kita hari ini. Sebab itu pernah diungkapkan bahawa andaikata para Sahabat Baginda SAW r.anhum ajmain hidup di zaman ini, mereka akan mengatakan kita orang yang tidak beriman dan beramal dengan ajaran Islam, manakala kita pula menuduh mereka orang-orang yang kurang waras. Itu adalah realiti kehidupan majoriti kita hari ini apabila Islam hanyalah luaran semata-mata kerana dilahirkan Islam, tetapi hakikat dan roh Islam tiada dalam jiwa kita. Sebaliknya, penuh dengan segala perasaan keji (mazmumah) dan penyakit hati yang tidak perlulah kita senaraikan di sini. Sungguh jauh “Islam” kita hari ini dengan Islam yang hidup dan diamalkan oleh Baginda SAW dan para Sahabat di awal kedatangan Islam suatu ketika dahulu. Di awal Islam, Allah “hidup” dalam hati-hati mereka, namun hari ini “dunia” dan “penyakit hati” bersarang dalam hati-hati kita. Lalu jalan tasawuf ini mengajak kita kembali “menghidupkan” Allah dalam hati kita sepertimana ungkapan yang diberikan oleh tokoh tasawuf terkenal Imam al-Junayd al-Baghdadi “Allah “mematikan” kamu dari dirimu, dan “menghidupkan” kamu melaluiNya”.

Q.Apakah Perubahan Yang dituntut itu?

A, Perubahan yang dituntut bukan perubahan luaran atau zahir tetapi perubahan batin atau boleh disebut “transformasi rohani”. Dalam tasawuf, tiada lebih utama yang dituntut melainkan hati. Hati merupakan roh kepada Islam yang kita anuti. Tanpa hati, ianya umpama badan yang berjasad namun tanpa nyawa. Hati merupakan fokus utama dalam ilmu tasawuf kerana seseorang itu akan selamat di Padang Mahsyar kelak walaupun mungkin amal ibadatnya tidak banyak, dengan syarat hatinya sihat. Memadai jika dia melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang  haram, walaupun mungkin amalan sunatnya tidak seberapa. Manakala seseorang itu tidak akan selamat, walaupun mungkin amal ibadatnya menggunung banyaknya jika hatinya penuh dengan pelbagai penyakit. Contoh penyakit hati yang lumrah hari ini ialah hasad dengki. Ianya jelas dicela dalam Islam sepertimana mafhum hadith Baginda SAW “Janganlah kamu berhasad dengki kerana sesungguhnya hasad itu memakan amal kebajikan sepertimana api memakan kayu api”. (Abu Dawud dan Ibn Majah).

Hasad merupakan antara penyakit hati yang ramai di kalangan kita tidak menyedari hari ini bahkan di kalangan orang yang kuat beribadat, dan lebih menyedihkan lagi turut wujud di kalangan alim ulama dan agamawan sendiri melainkan mereka yang beramal dengan ajaran tasawuf atau menjalani jalan tarekat.

Oleh itu perubahan yang dituntut dalam usaha mendekatkan diri kita dengan Allah SWT melalui amalan tasawuf adalah perubahan hati – menjadikan hati yang selama ini kotor dan berpenyakit kepada hati yang bersih, suci dan sihat yang di dalamnya tiada yang lain melainkan Allah SWT. Hanya “hati yang sihat” sejahtera sahaja yang selamat di hari Akhirat kelak sepertimana mafhum Firman Allah SWT “Hari yang tidak memberi manfaat harta benda mahu pun anak-pinak melainkan mereka yang kembali kepadaKu dengan hati yang sihat sejahtera” (As-Syua’ra 87-89).

Hari ini ramai yang menunaikan solat, puasa, haji, berzakat, bersedekah namun tidak menjaga hati mereka. Cuba kita ambil sedikit masa dalam hidup kita seharian untuk merenung dan membuat refleksi ke dalam diri sebelum tidur misalnya dan bertanya diri sendiri adakah “hatiku sihat”? Adakah “hatiku” selamat? Tidak guna jika kita setiap tahun pergi menunaikan haji, berpuluh-puluh kali menunaikan umrah, bersedekah, berzakat dan lain-lain namun hasad dengki, iri hati, riak, bangga diri (ujub), sum’ah, ghibah (mengumpat), cintakan dunia, gila kuasa dan pangkat, suka menzalimi dan menindas orang lain, suka memperlekeh dan menghina orang lain, dan pelbagai penyakit-penyakit hati yang lain masih kuat bersarang dan sebati dengan jiwa kita. Semua amalan-amalan kebajikan kita itu nanti akan sia-sia belaka, terpaksa diguna untuk “membayar” dosa-dosa kita kepada manusia dan kerana melakukan dosa besar kepada Allah SWT.

 Q.Adakah Perubahan Ini Suatu Yang Mampu Dicapai?

A. Ya, perubahan ini bukan suatu yang mustahil atau memerlukan kuasa ajaib untuk mencapainya. Ia mampu dicapai dengan syarat seseorang itu istiqamah bermujahadah melawan nafsunya dan sentiasa berusaha membersihkan hatinya. Sheikh Abdul Rahman al-Sanghouri r.a menegaskan dua perkara penting yang perlu diamalkan untuk mendapatkan ‘hati yang bersih’ iaitu dengan “zikir” yang berterusan dan “muzakarah”, iaitu menekuni ilmu-ilmu tradisional Islam samada  Islam, Iman mahupun Ihsan.

Seseorang yang menjalani jalan kerohanian juga hendaklah sentiasa cuba mengamalkan semua ajaran al-Qur’an dan menjadikan al-Qur’an hidup dalam dirinya, sebagai akhlaknya, mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Baginda SAW sepertimana yang digambarkan oleh Sayyidatina Aisyah r.a bahawa akhlak Baginda SAW adalah al-Qur’an. Ianya boleh dilakukan dengan pertama sekali mengambil langkah “mendengar” ceramah-ceramah atau tazkirah berhubung akhlak yang terpuji, kemudian “mengamalkan” nya apa yang didengar dan dipelajari itu dan seterusnya menjadikan satu demi satu sifat terpuji itu sebagai tabiat sehinggalah lama kelamaan ianya menjadi sebati menyerap sebagai akhlak kita  atau disebut dalam ilmu tasawuf sebagai salah satu “maqam” rohani seseorang. Perkara ini perlu kepada keinginan, kesungguhan, semangat yang tinggi dan mujahadah berterusan untuk berubah atau apa yang sering disebut sebagai “himmah”. Ianya tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gapah dan mengharapkan keputusan perubahan segera, sebaliknya hendaklah dengan perlahan-lahan tetapi berterusan (dawam) dan istiqamah kerana amalan yang dilakukan secara bergopoh-gapah hanya akan mencabut barakahnya. Kurniaan kejayaan dan kasih sayang Allah SWT pula hanya akan sampai apabila wujudnya keseimbangan dalam fakulti-fakulti kerohanian seseorang dan ia bebas dari sifat-sifat keji (mazmumah).

Q. Apakah perlu perubahan itu melibatkan berpakaian compang camping?

A. Di awal ilmu tasawuf berkembang melahui kelahiran tarekat-tarekat, mereka yang berjalan di jalan kerohanian ini disarungkan dengan pakaian yang compang-camping, bertampal atau disebut “khirqah” . Ianya secara khususn kepada mereka yang bersama dengan sesuatu tarekat, dengan tujuan sebagai simbolik melambangkan seseorang itu telah bulat bermatlamatkan Allah dan bukan dunia yang menipu. Ianya diharapkan akan turut melahirkan perasaan zuhud dalam diri pemakai. Namun amalan itu jarang diteruskan lagi hari ini namun semangat agar setiap mereka yang berbaiah untuk bersama sesebuah tarekat itu perlu bersedia untuk mentransformasikan diri masih merupakan asas utama kepada semua tarekat hari ini. Oleh itu yang ditekankan kini bukannya pemakaian “khirqah” itu tetapi hati “dipakaikan” dengan kecintaan kepada Allah dan dihidupkan dengan Allah sebagai matlamat utama kejadiannya.

Wa ma tawfiqi illa billah. Wallahu’alam.

Naskhah ini sebelum suntingan untuk terbitan Majalah Q&A isu no. 17 terbitan Galeri Ilmu Sdn.Bhd.




Ustaz Uthman El-Muhammady Meninggal

ulamaKUALA LUMPUR – 25 Mac, setelah dunia dikejutkan dengan pemergian ulama tersohor, Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti pada 22 Mac lalu, negara pula kehilangan seorang ulama besar bila Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC, Taman Duta di sini petang tadi. Beliau dipercayai meninggal disebabkan serangan jantung. Allahyarham sebelum ini dilaporkan pernah diserang strok.

Penerima anuagerah Tokoh Maal Hijrah 2005 ini pernah menjadi Fellow Kehormat IKIM dari 1995-2008. Beliau kini berkhidmat sebagai Fellow Amat Utama Akademik ISTAC-UIAM.

Tan Sri Prof. Dr Mohd. Kamal Hassan yang ditemui ketika menziarahi keluarga memaklumkan bahawa Solat Jenazah akan diadakan di Masjid UIAM Gombak selepas Solat Zuhur esok, Selasa dan sejurus selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM.  Turut hadir di kediaman arwah ialah Dekan ISTAC, Prof. Dr Ismawi Hj Zen, Dekan IRKHS  UIAM Prof. Dato’ Dr Mahmud Zuhdi dan ramai lagi.

Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota BharuKelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943) adalahTokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005.[1]

Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class pada tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.

Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.

Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.

Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Minat kajian beliau adalah di dalam:

  • Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat
  • Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya
  • Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya

Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.

Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:

  • “Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud”-terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).
  • “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud”, terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
  • “Peradaban dalam Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.
  • “Memahami Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.
  • “Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.
  • “Islam dan Kebudayaan” risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.

Tulisan-tulisan beliau banyak dimuatkan di blog http://blogtraditionalislam.wordpress.com.

Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

 

Sumber: disunting dari Wikipedia




Kembalinya Al-Allamah Sheikh Said Ramadhan al-Buti

Tanggal 22 Mac 2013 mencatatkan peristiwa yang menyedihkan seluruh umat Islam apabila seorang ulama terkenal dan dihormati telah terbunuh dalam satu insiden pembunuhan di Masjid Iman di Syria ketika sedang menyampaikan kuliahnya. Pelbagai spekulasi timbul samada beliau dibunuh oleh mereka yang menentang Presiden Basyar al-Assad. Ada juga yang merasakan ianya angkara tentera al-Assad sendiri. Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama para Syuhada.

Mideast Syria

Mideast Syria